
Yahya Rahim-Safavi. Foto: Agensi
TEHERAN – Bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Yahya Rahim-Safavi, mendakwa Iran mengetahui lokasi keberadaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekali gus memberi isyarat keupayaan risikan Teheran untuk menyasarkan kepimpinan Israel.
Dalam wawancara bersama televisyen negara yang disiarkan lewat Isnin, Rahim-Safavi berkata, pangkalan data risikan Iran telah ‘lengkap’ dan merangkumi maklumat berkaitan aktiviti serta lokasi yang dikawal Amerika Syarikat (AS) dan Israel di sekitar Iran.
Kenyataan itu dibuat selepas Iran melaporkan bahawa Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara yang disasarkan ke pejabatnya di Tehran, yang dikaitkan dengan tindakan Israel dan AS.
Rahim-Safavi turut mendakwa Presiden AS, Donald Trump, ‘dipergunakan’ oleh Netanyahu sehingga mencetuskan perang baharu terhadap Iran, susulan konflik singkat yang berakhir dengan gencatan senjata pada Jun 2025.
Menurutnya, tanggapan bahawa Iran menjadi lemah selepas perang 12 hari sebelum ini adalah tidak tepat, sebaliknya Teheran mendakwa telah memperkukuh keupayaan pertahanan serta serangan peluru berpandu dan dron berkali ganda.
Beliau juga mendakwa Iran telah mengosongkan pusat peluru berpandu sebelum gelombang serangan terbaharu, dan menyatakan bahawa serangan udara AS serta Israel kebelakangan ini hanya mengenai lokasi yang telah ditinggalkan.
Rahim-Safavi menegaskan sistem politik dan ketenteraan Iran kekal tersusun serta berupaya menyesuaikan diri walaupun berlaku kehilangan kepimpinan tertinggi.
Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada pihak Israel atau Amerika Syarikat berhubung dakwaan terbaharu tersebut. Ketegangan antara Teheran, Washington dan Tel Aviv terus memuncak, meningkatkan kebimbangan terhadap konflik serantau yang lebih luas.-Agensi
Ringkasan AI
- Bekas komander IRGC, Yahya Rahim-Safavi, mendakwa Iran tahu lokasi Perdana Menteri Israel
- Iran memiliki pangkalan data risikan yang lengkap merangkumi maklumat aktiviti AS dan Israel
- Konflik singkat dengan gencatan senjata pada Jun 2025 dicetuskan oleh perselisihan AS dan Israel dengan Iran
- Iran mendakwa telah memperkukuh keupayaan pertahanan dan serangan selepas perang
- Ketegangan antara Teheran, Washington dan Tel Aviv meningkat, meningkatkan kebimbangan terhadap konflik serantau



