Rakyat Nepal redah gunung bersalji pulang mengundi

Rakyat Nepal redah gunung bersalji pulang mengundi

KATHMANDU: Pengundi dari komuniti Himalaya Nepal terpaksa menempuh perjalanan berhari-hari melalui laluan gunung yang dilitupi salji untuk mengundi di kawasan asal masing-masing.

Pada Khamis, kira-kira 18.9 juta pengundi berdaftar dijangka memilih 275 ahli Parlimen, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan perdana menteri baharu. 

Namun beban paling berat ditanggung komuniti pergunungan, yang perlu membelanjakan lebih banyak masa dan wang, malah mempertaruhkan nyawa untuk melaksanakan hak demokratik mereka.

Minggu ini, sekumpulan penduduk dari kampung altitud tinggi Limi pulang lebih awal menjelang pilihan raya Parlimen Nepal, membersihkan salji dari laluan yang baru dibuka bagi memastikan penduduk kampung dapat sampai ke pusat mengundi.

Kumpulan itu, diketuai Paljor Tamang, tiba di lapangan terbang kecil di Simkot selepas terbang dari Kathmandu melalui Nepalgunj, hab serantau di barat Nepal. Namun, perjalanan mereka masih belum selesai.

Selepas tiba di Simkot, mereka mengambil masa empat hari untuk menyesuaikan diri dengan altitud tinggi sebelum meneruskan perjalanan terakhir walaupun laluan kenderaan yang baru dibuka masih tidak dapat dilalui. 

“Kami pulang awal untuk mengundi. Salji yang terkumpul ketika musim sejuk masih belum cair, jadi kami membersihkannya dengan jengkaut,” kata Tamang.

Setiap musim sejuk, penduduk Limi yang terletak kira-kira 3,700 meter dari aras laut berhampiran sempadan China turun ke kawasan lebih rendah bagi mengelakkan cuaca sejuk melampau. 

Kampung itu terputus hubungan selama berbulan-bulan dan kebanyakan penduduk hanya kembali pada akhir Mac. Namun tahun ini berbeza selepas pilihan raya diumumkan.

Undang-undang pilihan raya Nepal tidak membenarkan pengundian luar kawasan atau luar negara. Rakyat mesti mengundi di kawasan di mana mereka berdaftar, selalunya kampung asal.

Keperluan ini memberi kesan besar kepada penduduk daerah pergunungan seperti Humla, Mugu, Dolpo, Mustang dan Manang, yang meliputi kira-kira 18 peratus wilayah Nepal.

Pengundi yang lebih berada menyewa helikopter, manakala yang lain terbang ke landasan terdekat dan berjalan kaki dari hentian bas terakhir.-AGENSI

Scroll to Top