Pengalaman pertama lima beradik yatim, OKU berbuka puasa di restoran

Pengalaman pertama lima beradik yatim, OKU berbuka puasa di restoran

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh : Lima beradik yatim yang juga orang kurang upaya (OKU) antara penerima yang berjaya dicari di ceruk kampung dalam usaha membawa mereka berbuka puasa secara bufet di restoran pada Ramadan, tahun ini.

Mereka antara 150 anak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz yang menerima sumbangan berbuka puasa dan zakat anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf Society.

Kakak sulung keluarga itu, Nur Hidayah Kamaruzzaman, 21 berkata, pengalaman itu adalah kali pertama dirasai dia dan adik beradik OKU kategori masalah pembelajaran (lembam).

Katanya, mereka tinggal di Kampung Telekong, Kuala Krai bersama ibu, Ismarida Ismail, 44 yang juga pesakit mental dan mempunyai sakit jantung berlubang.

“Ayah dah meninggal, makan minum umi (NGO) jaga, adik pun sakit, ma sakit.

“Sebelum ini tak ada orang cara (orang peduli), bila boleh makan sedap, rasa suka,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Anak Yatim, Asnaf dan Pelajar Tahfiz di Restoran Pusan, Cherang Ruku, di sini.

Nur Hidayah berkata, empat lagi adik beradiknya adalah Nurbaiyah, 18, Nur Amirah Syahirah, 16 (penghidap leukimia), Muhammad Aniq Danish, 14, dan Muhammad Abdullah Israf (penghidap masalah injap jantung).

Bagi ibu tunggal, Nik Rosmawati Raja Dollah, 45, pula dia terharu apabila empat daripada tujuh anaknya terpilih dalam program berbuka puasa dan menerima sumbangan zakat dalam majlis itu.

Katanya, sebelum ini dia menjadi penyumbang zakat menerusi perniagaan tadika namun pendapatan keluarga merundum selepas suami, Mohd Fauzi Abdullah terlantar sakit akibat penyakit misteri pada tahun 2021 sehingga meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

“Masa arwah suami sakit, kehidupan kami berubah dengan drastik, duit habis untuk berubat suami dan tanggung anak-anak yang masih kecil selain terpaksa ulang alik ke hospital.

“Sekarang saya baru dalam tempoh nak pulihkan pendapatan keluarga dengan memulakan semula perniagaan tadika selain mengambil upah menjadi sukarelawan mengajar membaca orang awam,” katanya yang menyara anak berusia 17 hingga lima tahun.

Sementara itu, Bendahari Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan yang juga Ketua Program majlis berkenaan, Nor Hazlina Mohamed berkata, majlis berbuka puasa dan agihan zakat itu diberikan menerusi sumbangan wakil korporat, menteri, golongan profesional seperti doktor dan profesor serta individu yang memberikan infak dalam Ramadan.

Katanya, sumbangan diberikan kepada anak yatim, asnaf, OKU dan pelajar tahfiz yang tercicir daripada mendapat sumbangan dan dicari di seluruh pelusuk Kelantan terutamanya di ceruk kampung.

“Kami buat setiap tahun program ini, objektifnya untuk menggembirakan mereka, membuatkan anak-anak yatim tidak rasa terpinggir, kami pilih dari kampung-kampung terpencil seperti Kampung Telekong, pusat-pusat tahfiz di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan menyambut Syawal seperti pakaian raya turut akan diusahakan pihaknya bagi golongan yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top