Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas di selatan Lubnan dilaporkan selamat meskipun berlaku peningkatan ketegangan di kawasan tersebut susulan pertembungan antara tentera Israel dan kumpulan Hezbollah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tentera Israel dilaporkan memasuki beberapa kawasan di Lubnan manakala beberapa insiden serangan turut direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.
“Sehubungan itu, langkah perlindungan pasukan (force protection) telah dipertingkat selaras dengan tahap waspada semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Foto arkib: Bernama
Beliau menegaskan, setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan proses evakuasi kerana keadaan masih terkawal.
” MALBATT 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlukan,” ujarnya.
Foto arkib: Bernama
Tambahnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Markas Angkatan Bersama terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta agensi berkaitan.




