am@hmetro.com.my
Miri: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang lampu jalan dalam satu kemalangan di Jalan Kuala Baram Bypass berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP), petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu berlaku ketika mangsa yang memandu dari arah Senadin menuju ke Permyjaya dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar tiang lampu.
Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




