Dentuman bunga api antara punca Sanfrecce tewas di tangan JDT

Dentuman bunga api antara punca Sanfrecce tewas di tangan JDT

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul menyifatkan kad merah yang dilayangkan kepada Kim Ju-sung pada babak pertama menjejaskan taktikal permainan pasukan selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Jerman itu berkata, barisan pemain diturunkan untuk berdepan skuad kendalian Xisco Munoz tetap memberikan tentangan sengit kepada skuad Harimau Selatan pasukan walaupun terpaksa meneruskan permainan dengan hanya 10 pemain dalam tempoh 65 minit perlawanan.

“Bermain dengan kekurangan seorang pemain ketika berdepan pasukan lawan yang dibarisi ramai pemain berkualiti bukanlah tugas mudah. Apa pun, saya bangga dengan aksi diperagakan pemain kerana mereka masih mampu memberi ancaman di kubu JDT.

“Pemain berdepan pelbagai isu sebelum perlawanan seperti tempoh perjalanan yang panjang, cuaca panas dan kering serta tidak mendapat tidur berkualiti apabila dikejutkan dengan dentuman bunga api di luar hotel.

“Ia menyebabkan perlawanan ini sukar buat kami. Bagaimanapun, pemain melakukan tugas dengan baik malah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan, saya bangga dengan apa mereka pamerkan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menjaringkan satu gol dan Sanfrecce Hiroshima berjaya merapatkan defisit gol hasil jaringan sendiri Rui Felipi pada penghujung permainan.

Gaul percaya peluang untuk Sanfrecce Hiroshima mara ke pusingan suku akhir ACLE masih belum tertutup selepas berjaya mengurangkan defisit jaringan dan berazam untuk bangkit dalam perlawanan nanti .

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top