
Anak-anak daripada Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dibawa membeli-belah pakaian baharu.
UDA Holdings Berhad (UDA) menyemarakkan bulan Ramadan dengan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares atau UDA Prihatin sempena Program CSR Sinar Ramadan UDA 2026.
Bertempat di Angsana Johor Bahru Mall pada Khamis, seramai 100 anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh Johor diraikan dengan dibawa membeli-belah pakaian dan kelengkapan Aidilfitri bernilai RM350 setiap seorang.
Lebih bermakna, mereka turut bersama-sama menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan selain menerima kuih raya sebagai tanda ingatan.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil berkata, program UDA yang dilaksanakan menerusi anak syarikat, UDA Angsana Sdn Bhd bersama UDA Land (South) Sdn Bhd itu merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan sejak 2021.
“Hampir RM30,000 zakat wakalah disalurkan bagi pembelian pakaian dan kelengkapan baharu kepada 85 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang berusia antara 12 bulan hingga 28 tahun.
“Sumbangan ini diharap dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak agar turut sama menikmati kemeriahan Syawal. Semoga kegembiraan yang dirasai ini terus menjadi inspirasi dan penguat semangat untuk UDA terus berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd Nazri Jamiran bersama kakitangan Angsana Johor Bahru Mall dan UDA Land (South) meraikan anak-anak Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh di Angsana Johor Bahru Mall pada Khamis.
Program CSR Sinar Ramadan UDA 2026 turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd, Norazim Shukor serta barisan pengurusan dan kakitangan UDA yang meraikan dan menyantuni anak-anak tersebut membeli-belah dan berbuka puasa.
Tambah Radziah, seiring dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’ tahun ini, UDA bertekad terus mengukuhkan peranan dalam setiap rangkaian perniagaan serta memperkukuh agenda CSR melalui platform UDA Prihatin demi kesejahteraan masyarakat.
“Sumbangan zakat wakalah yang dilaksanakan menerusi tunggak CSR UDA Prihatin; Memperkasa Kehidupan ini memperkukuh komitmen kepada komuniti yang memerlukan sokongan.
“Menerusi tunggak ini, UDA menjalankan kewajipan mengagihkan zakat wakalah kepada golongan yang layak di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA,” katanya.
Selain UDA Prihatin; Memperkasa Kehidupan, tiga lagi tunggak utama program UDA Prihatin adalah UDA Prihatin; Pendidikan, UDA Prihatin; Usahawan dan UDA Prihatin; Projek Penambahbaikan yang meliputi pemerkasaan berkaitan menyeluruh dalam kalangan masyarakat dan komuniti.
Ringkasan AI
- UDA Holdings Berhad menyemarakkan Ramadan dengan program CSR UDA Prihatin melalui Program CSR Sinar Ramadan UDA 2026
- Seramai 100 anak yatim dan asnaf dibawa membeli-belah dan dinikmati jamuan berbuka puasa
- Hampir RM30,000 zakat wakalah disalurkan untuk pembelian pakaian Aidilfitri bagi 85 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh
- Program merupakan aktiviti tahunan UDA, bertujuan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan asnaf
- UDA komited memperkukuhkan komitmen kepada komuniti melalui tunggak CSR UDA Prihatin; Memperkasa Kehidupan



