khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kajang: Kerajaan menyasarkan pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kad pengenalan dapat digunakan pada hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ini kerana kerajaan kini sedang melaksanakan proses integrasi penggunaan kad pengenalan dengan terminal MyKasih.
“Buat masa ini kita masih menggunakan kod QR itu sebagai langkah untuk memastikan bahawa subsidi minyak masak paket ini sampai kepada hanya yang layak membelinya.
“Jadi, hujung tahun ini kita unjurkan sistem itu akan bersedia sebab kita dalam proses mengintegrasikan kad pengenalan ke dalam sistem kita.
“Ini disebabkan data sekarang ini kita kutip melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Program Edaran Bubur Lambuk Econsave di Balakong, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam.
Sebelum ini, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dilapor berkata, warga asing akan dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac.
Beliau dipetik berkata, larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM2 bilion bagi pemberian subsidi minyak masak paket setahun.
Katanya, daripada Januari 2024 hingga Februari 2026 juga, sebanyak 951 kes ketirisan minyak masak paket direkodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM4.5 juta.
Beliau dalam masa sama turut menyatakan pihak KPDN sedang memantau harga barangan yang dijual di pasaran susulan situasi perang di Asia Barat.
Bagaimanapun katanya, setakat ini, ia masih tidak menjejaskan harga barangan yang dijual di Malaysia.
Menyentuh mengenai Program Edaran Bubur Lambuk, Fuziah menyatakan sebanyak 200,000 pek bubur lambuk Econsave diedarkan sepanjang bulan Ramadan ini.
Beliau berkata, edaran pek bubur lambuk itu melibatkan 109 cawangan Econsave.
Katanya, bagi cawangan Econsave Balakong, sebanyak 3,000 pek bubur lambuk diedarkan kepada komuniti setempat.
“Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Econsave turut memperuntukkan dana berjumlah RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan bakuk rezeki untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
“Seramai 100 penerima terpilih pada hari ini menerima baucar membeli-belah bagi meringankan beban persiapan musim perayaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




