Garrido akui tidak gembira Sabah tidak menang di Manjung

Garrido akui tidak gembira Sabah tidak menang di Manjung
Garrido akui tidak gembira Sabah tidak menang di Manjung

Sebahagian aksi Sabah menentang Perak perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran di Manjung pada Rabu.Foto: Sabah Football Club

KELAB Liga Super, Sabah FC membawa pulang keputusan seri tanpa jaringan selepas terikat 0-0 dengan Perak FA pada aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Rabu.

Pengendali Sabah, Juan Torres Garrido memuji komitmen tinggi dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan yang disifatkan sebagai satu cabaran sukar, terutama apabila beraksi di gelanggang kelab Liga A1 Semi Pro tersebut.

Menurutnya, walaupun Perak beraksi dalam divisyen lebih rendah, pasukan itu tetap memiliki kemampuan untuk memberi saingan sengit.

“Pasukan bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan baik. Perlawanan ini tidak mudah kerana kami bermain di tempat lawan.

“Mungkin ada yang memandang rendah pasukan ini kerana mereka dari divisyen lebih rendah, tetapi kami tahu kemampuan mereka termasuk bagaimana mereka pernah menyukarkan Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya selepas perlawanan.

Garrido berkata, Sabah sebenarnya turun dengan sasaran untuk meraih kemenangan, namun tetap berpuas hati dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kami datang dengan keinginan untuk memenangi perlawanan ini. Sudah tentu kami tidak gembira kerana tidak menang, tetapi saya berpuas hati dengan usaha dan kerja yang dilakukan oleh pemain-pemain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau optimis Sabah mampu mempamerkan aksi lebih baik apabila kembali beraksi di laman sendiri pada perlawanan timbal balik nanti.

“Kini kami menantikan perlawanan di tempat sendiri di hadapan penyokong kami dan berharap dapat meraih kemenangan,” katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang terbuka menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 11 Mac ini.

Ringkasan AI

  • Sabah FC membawa pulang seri tanpa jaringan dengan Perak FA dalam separuh akhir pertama Piala Cabaran
  • Pengendali Sabah, Juan Torres Garrido memuji komitmen pemain dalam perlawanan yang disifatkan sebagai cabaran sukar
  • Perak, walaupun di divisyen lebih rendah, masih memberi saingan sengit
  • Garrido menyatakan Sabah datang dengan sasaran untuk menang tapi berpuas hati dengan usaha pemain
  • Perlawanan timbal balik akan diadakan di Stadium Likas, menjanjikan peluang bagi kedua-dua pasukan
Scroll to Top