Petaling Jaya: Bagi mengimarahkan bulan Ramadan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), sekali lagi menganjurkan Program Pembudayaan Al-Quran: HASiL #QuranHour, di Masjid Damansara Perdana, hari ini.
HASiL dalam kenyataan berkata, program disertai 500 peserta itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam HASiL (PERKIS) serta rakan strategik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Ia dianjurkan sejajar dengan konsep #WorldQuranHour yang menggalakkan pembabitan umat Islam di seluruh dunia dalam usaha memartabatkan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.
Penganjuran program ini juga menjadi platform strategik dalam membudayakan al-Quran bagi memperluaskan impaknya dalam kehidupan seharian termasuk pelaksanaan tugas sebagai penjawat awam berintegriti, berakauntabiliti dan berteraskan nilai-nilai murni.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) HASiL, Datuk Khairul Halimin Abdul Halim berkata, program HASiL #QuranHour bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi menjadi wadah memperkukuh pembudayaan al-Quran dalam kalangan warga kerja HASiL.
Beliau menegaskan penghayatan al-Quran perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan dan integriti ketika melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.
Mengulas tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ yang diilhamkan daripada Surah Al-Muzzammil, beliau berkata pembinaan kekuatan rohani, disiplin dan istiqamah adalah asas dalam melahirkan warga kerja yang beramanah, berakauntabiliti serta berteraskan nilai ihsan.
Program ini turut dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti kerohanian termasuk Majlis Khatam al-Quran, Tadabbur Surah Al-Muzammil serta Bicara Ramadan yang memberi suntikan motivasi kepada peserta.
Menurut kenyataan itu, HASiL percaya pendekatan holistik yang digerakkan mampu menjadi pemangkin kepada pembudayaan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama kehidupan, seterusnya membentuk individu yang bertanggungjawab selaras dengan aspirasi organisasi dan tuntutan agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




