Iran ikrar tuntut bela nasib kanak-kanak terbunuh

Iran ikrar tuntut bela nasib kanak-kanak terbunuh
Iran ikrar tuntut bela nasib kanak-kanak terbunuh

Mohammad-Baqer Ghalibaf. Foto Agensi

TEHERAN – Speaker Parlimen Iran, Mohammad-Baqer Ghalibaf berikrar akan menuntut pembelaan terhadap kanak-kanak yang terkorban dalam serangan ke atas sebuah sekolah di selatan negara itu, yang dilapor dilakukan oleh pakatan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam berkenaan.

Dalam kenyataan dimuat naik di platform X pada Selasa, beliau menegaskan Iran tidak akan berdiam diri sehingga ‘darah kanak-kanak yang tidak berdosa dibela sepenuhnya’.

Serangan tersebut menyasarkan Sekolah Shajareh Tayyebeh di bandar Minab, wilayah Hormozgan Province.

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, seramai 165 kanak-kanak terkorban manakala hampir 100 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Bangunan dua tingkat yang menempatkan sekolah lelaki dan perempuan itu dilaporkan mengalami kemusnahan teruk, dengan pasukan kecemasan bertungkus-lumus mencari mangsa di bawah runtuhan.

Penduduk Minab mengadakan perarakan pengebumian pada Selasa pagi. Ramai dilihat membawa keranda kecil serta gambar mangsa, dalam suasana penuh tangisan dan doa.

Pendakwa raya Minab menyifatkan serangan itu sebagai ‘jenayah kejam’, sambil memaklumkan bahawa mangsa turut melibatkan kakitangan sekolah dan ibu bapa.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam’, serta satu ‘lembaran hitam’ dalam sejarah konflik yang melanda negara itu.

Ghalibaf dalam kenyataannya menegaskan bahawa rakyat Iran akan terus berjuang mempertahankan negara dan tidak akan melupakan tragedi tersebut, sambil menyatakan komitmen untuk membalas apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan.

Insiden itu berlaku ketika konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel terus memuncak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih meluas di rantau Asia Barat.- Agensi

Ringkasan AI

  • Speaker Parlimen Iran berikrar menuntut pembelaan untuk kanak-kanak yang terkorban dalam serangan sebuah sekolah oleh pakatan Amerika Syarikat dan Israel
  • Iran tidak akan berdiam diri sehingga darah kanak-kanak yang tidak berdosa dibela sepenuhnya
  • Serangan menyasarkan Sekolah Shajareh Tayyebeh di wilayah Hormozgan menyebabkan 165 kanak-kanak terkorban
  • Bangunan sekolah mengalami kemusnahan teruk
  • Konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel memuncak, mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas di Asia Barat
Scroll to Top