
Anggota bomba beroperasi di luar bangunan terkena peluru berpandu di pinggir Tel-Aviv. Foto: AFP
TEL AVIV – Satu serangan peluru berpandu oleh Iran mencetuskan beberapa letupan di sekitar Tel Aviv pada awal pagi Jumaat ketika pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel.
Menurut laporan media, letupan itu berlaku selepas Israel memperluaskan kempen ketenteraannya terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Teheran.
Israel sebelum ini berikrar akan mengambil tindakan balas terhadap kumpulan militan tersebut selepas mereka menyertai konflik susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Sabtu lalu.
Penyiar rasmi Iran melaporkan bahawa Teheran telah melancarkan peluru berpandu yang disasarkan ke ‘sasaran di tengah Tel Aviv’.
Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha memintas peluru berpandu Iran yang dilancarkan lewat malam Khamis.
Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan hampir serentak kedengaran di seluruh bandar tersebut.
Jejak roket juga dilihat menerangi ruang udara di Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv yang terletak di pesisir Laut Mediterranean.
Selepas serangan itu, perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), memaklumkan pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang dilaporkan terkena impak, namun tiada mangsa dilaporkan setakat ini.
Polis Israel pula menyatakan pihaknya sedang mengendalikan beberapa lokasi di tengah Israel yang melibatkan peluru berpandu yang jatuh.
Pihak berkuasa mengesahkan terdapat kerosakan pada bangunan, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, Komando Barisan Hadapan Israel turut mengeluarkan beberapa amaran serangan roket pada awal pagi Jumaat kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan.
Ringkasan AI
- Serangan peluru berpandu oleh Iran mencetuskan letupan di Tel Aviv
- Letupan berlaku selepas Israel memperluaskan kempen ketenteraannya terhadap kumpulan Hezbollah
- Israel berikrar akan mengambil tindakan balas terhadap kumpulan militan itu selepas pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei
- Tehran melancarkan peluru berpandu yang disasarkan ke tengah Tel Aviv
- Tiada mangsa dilaporkan setakat ini akibat serangan tersebut


