am@hmetro.com.my
Seremban: Pihak pemaju dan kontraktor perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan termasuk buat pertama kalinya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai, kelmarin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya dimaklumkan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan berhampiran kawasan rehat berkenaan antara punca kejadian banjir lumpur yang melanda sekitar kawasan itu.
“Sepanjang lebuh raya memang ada banyak projek dan kawasan baharu yang dibangunkan.
“Jika ia dikenal pasti menjadi punca kepada banjir kilat di Hentian Sebelah Nilai, baru-baru ini, maka pihak kontraktor dan pemaju perlu dipertanggungjawabkan.
“Ini kerana jika banjir berlaku di lebuh raya ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai tetapi boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna laluan berkenaan.
“Malah, kesannya akan menyebabkan kesesakan teruk berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah sempena Ramadan di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, di sini, malam ini.
Kelmarin, kejadian banjir kilat berlaku dekat Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat sejak jam 6.30 petang.
Situasi waktu puncak dan kejadian banjir menyebabkan kesesakan di Kilometer 287 lebuh raya berkenaan antara laluan Putra Mahkota dan Bandar Baru Nilai.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata pihaknya berharap Lembaga Lebuh Raya (LLM) terutama pihak PLUS dapat mengambil iktibar dengan mengenal pasti punca utama kejadian itu.
Menurutnya, jika ia kesan daripada projek pembangunan di jajaran lebuh raya itu, maka kontraktor dan pemaju perlu dilibatkan sama.
“Masalah ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin untuk kepentingan orang ramai dan pengguna lebuh raya,” katanya memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu menangani masalah berkenaan.
Mengenai majlis yang diadakan itu, Loke berkata keseluruhan sebanyak RM265,000 diagihkan kepada 35 masjid dan 160 surau di dalam Parlimen Seremban dan DUN Chennah bagi membantu ahli jawatankuasa melaksanakan aktiviti keagamaan masing-masing sepanjang Ramadan ini.
“Setiap masjid menerima sebanyak RM3,000 manakala surau RM1,000 untuk membantu mereka dalam menampung kos aktiviti yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




