TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak untuk mempertimbangkan penghantaran tentera darat AS ke Iran, mendakwa tindakan itu hanya ‘membuang masa’ sambil dengan angkuh menyatakan negara itu sudah musnah.
Beliau malah menyangkal amaran Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, bahawa langkah sedemikian akan membawa bencana kepada penceroboh.
“Membuang masa. Mereka telah kehilangan segala-galanya. Mereka telah kehilangan tentera laut, telah kehilangan semua yang boleh mereka hilang,” kata Trump kepada NBC melalui telefon, sambil menambah amaran Araghchi bahawa Iran bersedia untuk serangan darat AS atau Israel adalah ‘kenyataan sia-sia’.
Trump turut menyatakan beliau mahu struktur kepimpinan Iran dihapuskan.
‘Kami mahu masuk dan ‘bersihkan’ semuanya dengan cepat. Kami tidak mahu seseorang yang akan membina semula dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Beliau turut mendakwa mempunyai pilihan untuk pemimpin baharu Iran tetapi enggan menyebut nama sesiapa.
Sebelum ini, Trump berkata, beliau perlu terlibat dalam pelantikan pemimpin Iran seterusnya selepas serangan AS-Israel membunuh Ayatollah Ali Khamenei ketika konflik bermula pada Sabtu.
Serangan berterusan dilaporkan di Teheran pada Jumaat selepas Israel mengumumkan mensasarkan infrastruktur pentadbiran dalam fasa baharu perang yang dilancarkan bersama AS terhadap Iran.-AFP



