am@hmetro.com.my
Melaka: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM13.7 juta bagi membela kebajikan rakyat yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM11.9 juta diperuntukkan sepanjang Ramadan dalam pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan khususnya kepada asnaf, fakir, miskin dan mualaf.
Beliau berkata, bagi persiapan Aidilfitri pula, kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Syawal berjumlah RM1.8 juta yang memberi manfaat kepada 11,351 orang penerima.
“Bantuan dan sumbangan ini adalah cerminan jelas kepemimpinan negeri yang dekat dan peka terhadap keperluan rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Saya mewakili kerajaan negeri amat berharap mudah-mudahan sumbangan ini memberi sinar kegembiraan, menyemai kasih sayang dan ukhuwah antara kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini hari ini.
Ab Rauf berkata, sepanjang Ramadan ini, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan bulan mulia ini terus diimarahkan melalui program keagamaan dan kemasyarakatan yang memperkukuh ketakwaan serta mengeratkan silaturahim.
Katanya, ia termasuk penganjuran Iftar Jamaie Mega siri kelima yang diadakan sejak 2022, di mana menerusi program itu, kerajaan negeri berbesar hati menyediakan juadah berbuka kepada lebih 3,000 rakyat Melaka secara percuma.
“Ini menjadikan simbol kebersamaan keluarga besar Melaka berpaksikan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Semoga usaha ini terus memperteguh semangat kekeluargaan dalam kalangan rakyat dan memantapkan komitmen kerajaan negeri sejajar slogan Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat, Untuk Rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




