
Sebahagian aksi Malaysia menentang England dalam aksi separuh akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir, pada Jumaat. Foto Asian Hockey Federation
MALAYSIA terlepas peluang melangkah ke pentas final kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-7 kepada England pada aksi separuh akhir di Ismailia, Mesir, pada Jumaat.
Meskipun gagal mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia, peluang skuad negara ke kejohanan berprestij itu masih terbuka. Namun, laluan menjadi lebih sukar apabila mereka wajib memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga sama ada menentang Pakistan atau Jepun, esok.
Mengikut format kejohanan, hanya tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kempen kelayakan kali ini akan meraih slot ke Piala Dunia.
Sekiranya gagal dalam perlawanan penentuan esok, nasib skuad Speedy Tigers ke Piala Dunia akan bergantung kepada keputusan satu lagi kejohanan kelayakan yang sedang berlangsung di Santiago, Chile.
Malaysia hanya berpeluang layak sekiranya ranking dunia mereka lebih tinggi berbanding pasukan yang menamatkan saingan di tempat keempat pada kejohanan di Chile.
Sekiranya pasukan di tempat keempat di Chile mempunyai ranking lebih baik, maka peluang Malaysia beraksi di Piala Dunia akan terus tertutup.
Pada perlawanan separuh akhir itu, England membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Sam Ward pada minit ke-19 sebelum Samuel Hooper menggandakan kelebihan dengan jaringan sama pada minit ke-36.
England terus menguasai permainan apabila Thomas Sorsby meledak gol padang pada minit ke-42 sebelum rakan sepasukannya, Stuart Rushmere, menambah jaringan seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Malaysia kemudian meraih gol sagu hati hasil jaringan padang oleh Faizal Saari pada minit ke-50.
England terus menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Zachary Wallace pada minit ke-54 sebelum Rushmere meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-59.
Hooper melengkapkan kemenangan besar England dengan satu lagi jaringan sudut penalti pada minit ke-60 bagi mengesahkan keputusan 7-1. – Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia terlepas peluang ke final Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada England
- Peluang ke Piala Dunia masih terbuka melalui perlawanan penentuan tempat ketiga
- Hanya tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kelayakan akan ke Piala Dunia
- Sekiranya gagal, peluang bergantung kepada ranking dunia berbanding pasukan keempat di Chile
- England mengalahkan Malaysia dengan skor besar 7-1



