KUANTAN: Pahang melakar sejarah baharu dalam landskap pendidikan negara apabila Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) secara rasmi dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS).
Pengisytiharan itu sekali gus menjadikan UNIQSAAS sebagai universiti al-Quran yang pertama di Malaysia.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan titah pengisytiharan tersebut di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, semalam.
Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyembahkan warkah pertukaran nama universiti kepada Baginda Sultan Pahang.
Seterusnya Baginda Sultan Pahang mengurniakan warkah tersebut kepada kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbolik pengisytiharan rasmi universiti tersebut.
Simbolik Nuzul al-Quran dan ulang tahun perkahwinan Diraja
Tarikh 6 Mac 2026 dipilih bagi pengumuman bersejarah ini kerana mempunyai signifikan yang amat mendalam iaitu bertepatan dengan malam Nuzul al-Quran.
Pemilihan tersebut selari dengan aspirasi murni institusi berkenaan untuk menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam pembangunan ilmu serta pembinaan tamadun manusia.
Detik ini menjadi lebih istimewa apabila pengisytiharan tersebut turut bersamaan dengan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-40 Baginda Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Transformasi ‘Hudan Linnas’
Naib Canselor UNIQSAAS, Prof Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin menjelaskan, penjenamaan ini merupakan transformasi menyeluruh yang bertepatan dengan sambutan 30 tahun penubuhan institusi itu sejak 1996.
“UNIQSAAS membawa aspirasi Hudan Linnas iaitu menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam semua bidang ilmu dan pembangunan insan, merangkumi aspek akidah, kepimpinan sehingga ke pembangunan tamadun,” katanya.
Bagi merealisasikan visi tersebut, UNIQSAAS mengintegrasikan pengajian al-Quran dalam 40 program pengajian sedia ada, bermula dari peringkat Asasi sehingga ke Doktor Falsafah (PhD).
Selain bidang pengajian Islam, elemen al-Quran turut diterapkan dalam kursus arus perdana seperti bidang pengurusan, teknologi maklumat, kaunseling, pendidikan awal kanak-kanak serta pengajian bahasa.
Jaringan global dan biasiswa khas
UNIQSAAS terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH), Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menawarkan program mobiliti berkredit dengan tajaan penuh kerajaan UAE.
Selain itu, UNIQSAAS juga merupakan ahli Kesatuan Universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah) serta Persatuan Universiti-Universiti Islam Asia atau Asian Islamic Universities Association (AIUA).
Graduan diploma universiti ini turut mempunyai laluan khas untuk menyambung pengajian terus ke tahun tiga peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir serta Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei.
Sebagai galakan, Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan biasiswa khas meliputi pembiayaan penuh yuran akademik bagi peringkat Asasi, dengan syarat pelajar meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNIQSAAS.
Maklumat lanjut mengenai program pengajian boleh didapati melalui laman sesawang rasmi di www.uniqsaas.edu.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd



