Pengawal Revolusi 'tunggu' tentera AS di Selat Hormuz

Pengawal Revolusi 'tunggu' tentera AS di Selat Hormuz

Tehran: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Sabtu berkata, mereka sedang ‘menunggu’ tentera Amerika Syarikat (AS) untuk mengiringi kapal melalui Selat Hormuz, laluan perairan strategik di mana trafik masih tersekat ketika perang serantau terus memuncak.

Memetik agensi berita Fars, jurucakap IRGC, Ali Mohammad Naini berkata, pihaknya sedang menunggu kehadiran tentera berkenaan.

Kenyataan itu dibuat selepas setiausaha tenaga AS mengumumkan bahawa tentera laut sedang bersedia untuk mengiringi kapal melalui selat itu.

Beliau berkata, pengiringan itu akan dilakukan sebaik sahaja keadaan munasabah untuk melakukannya.

“Kami mengesyorkan sebelum membuat sebarang keputusan, pihak AS mengingati kebakaran kapal tangki super Amerika ‘Bridgeton’ pada 1987 dan kapal tangki minyak yang baru-baru ini menjadi sasaran,” kata Naini.

Selasa lalu, Presiden Donald berkata, Tentera Laut AS akan mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz jika perlu, lapor Bernama memetik agensi berita Xinhua.

“Jika perlu, Tentera Laut Amerika Syarikat akan mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin,” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.

Trump berkata, beliau mengarahkan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa (DFC) AS untuk menyediakan apa yang dipanggil sebagai insurans risiko politik dan jaminan bagi perdagangan maritim, terutamanya tenaga, yang “melalui Teluk.”

Terletak di antara Teluk dan Teluk Oman, Selat Hormuz berfungsi sebagai satu-satunya laluan laut dari Teluk ke lautan terbuka, mengukuhkan statusnya sebagai antara lokasi strategik paling penting di dunia.

Media Iran sebelum ini melaporkan bahawa IRGC menutup Selat Hormuz kepada kapal, menyatakan laluan perairan penting minyak dan gas itu tidak selamat akibat serangan AS dan Israel.

Dalam perkembangan terbaharu, Iran menegaskan tidak menutup Selat Hormuz, kata Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, lapor Bernama.

Dalam ucapannya pada sebuah persidangan di New Delhi, Khatibzadeh berkata, penurunan mendadak trafik perkapalan melalui selat itu sebaliknya berpunca daripada keengganan syarikat insurans untuk menginsuranskan kapal yang menuju ke kawasan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top