Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan pertemuan dikenali sebagai ‘Langkah Bangkok’ di Bangkok, Thailand seperti dilaporkan beberapa pihak sebelum ini.

Tak terlibat Langkah Bangkok
Menerusi hantaran di Facebook, Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang juga Menteri Besar Terengganu itu menegaskan beliau tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan berkaitan perkara tersebut dan berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan spekulasi berkenaan.
“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya.
“Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya.

Langkah Bangkok libatkan siapa?
Terdahulu, Berita Harian melaporkan Presiden United Malays National Organisation (UMNO), Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau pernah bertemu Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan Melayu dan Islam.
Menurut sumber parti, selain Hamzah, Ahmad Zahid turut didakwa mengadakan pertemuan dengan Ahmad Samsuri serta Timbalan Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Pertemuan itu dipercayai berlaku pada awal Disember tahun lalu ketika lawatan kerja Ahmad Zahid ke negara jiran tersebut.
Sumber sama mendakwa semua pemimpin yang hadir menyambut baik hasrat penyatuan itu dan usaha sedang dilaksanakan bagi merealisasikan agenda berkenaan.

Artikel lain: ‘Jumpa PM bukan kesalahan, hanya mahu teruskan perjuangan agama, bangsa dan negara’ – Hamzah
Susulan perkembangan itu, Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu turut mengumumkan inisiatif ‘grand collaboration’ bagi menyatukan parti Melayu dan Islam secara tidak rasmi tanpa membubarkan parti masing-masing.
Baru-baru ini pula, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin mendakwa wujud perancangan oleh Hamzah untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri melalui gabungan parti lain dan turut mengesahkan pertemuan beliau dengan Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan ‘Langkah Bangkok’.
Sumber: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Moktar, Berita Harian (Mohd Nasaruddin Parzi)




