yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih kepada mereka yang menyumbang. Berkat Ramadan, dana sudah cukup dan kami pun sudah berada di China untuk prosedur seterusnya,” kata Amirah Selgi.
Ibu kepada Nur Farrel Iman Muhammad Fahmin, bayi berusia setahun 10 bulan yang menderita Biliary Atresia itu berkata, dana untuk menjalani pembedahan sebanyak lebih RM200,000 berjaya dikumpulkan Jumaat minggu lalu.
Katanya, susulan itu, dia bersama suami serta Farrel berlepas ke China Khamis lalu dan kini anaknya itu diletakkan di bawah pengawasan doktor di Hospital Renji di Shanghai.
“Rasa syukur sangat selepas bermacam ikhtiar kami lakukan untuk mencari dana, akhirnya kami sampai di sini untuk rawatan Farrel.
“Keadaan dia stabil dan di bawah pengawasan doktor. Kami masih menunggu tarikh pembedahan,” katanya ketika dihubungi.
Amirah berkata, ketika ini terdapat dua lagi bayi dari Malaysia turut menunggu tarikh prosedur untuk penyakit sama di hospital itu.
Katanya, kes mereka juga sama seperti anaknya yang diuruskan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan, Amirah sanggup mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan nyawa anak tersayang.
Dia nekad untuk menderma hatinya sendiri kerana tempoh menunggu yang lama untuk mendapatkan penderma organ.
“Kami mungkin berada di sini lebih sebulan. Mohon doa dari seluruh rakyat Malaysia agar prosedur nanti berjalan lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




