suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik sindiket penipuan pelaburan menggunakan testimoni palsu dalam kumpulan media sosial memerangkap seorang pesara sehingga rugi RM107,400.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa yang berumur lingkungan 70-an tertarik dengan iklan pelaburan yang ditemui di Facebook pada awal November 2025 berkaitan pelaburan Initial Public Offering (IPO) atau ‘block trade’.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera pada iklan berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp tersebut.
“Setelah mangsa melihat maklum balas positif daripada ‘ahli kumpulan’ yang kononnya telah membuat pelaburan, mangsa terdorong untuk turut menyertai pelaburan berkenaan.
“Mangsa kemudian mula melabur melalui aplikasi yang diarahkan oleh ‘ejen’ untuk dimuat turun.
“Antara awal Januari hingga pertengahan Februari lalu, mangsa melakukan 13 transaksi dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza milik perniagaan dan syarikat iaitu SCSS One Trading, SCSS Pro Trading, SCSS Centure Enterprise dan SCSS Asia Trading Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, mangsa mula menyedari ditipu dengan kerugian RM107,400, selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan pelaburan selain masih diminta membuat bayaran tambahan.
Katanya, laporan polis dibuat mangsa pada 19 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam masa sama, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan testimoni pelaburan daripada individu tidak dikenali dalam kumpulan media sosial.
“Elakkan transaksi ke akaun syarikat atau perniagaan yang tidak dikenali walaupun nama seakan-akan sama dengan platform pelaburan.
“Gunakan Portal Semakmule dengan membuat carian nombor akaun bank, nombor talian atau nama syarikat di semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




