Pengacara dan personaliti televisyen, Hawa Rizwana, 31, menegaskan pembedahan plastik bukan jalan yang mahu dipilihnya walaupun sedar penampilan sering menjadi perhatian ramai sebagai seorang figura awam.
Menurut pemilik nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan ini, dia lebih selesa dengan rawatan estetik bukan invasif bagi mengekalkan kecantikan semula jadi tanpa perlu melakukan perubahan ketara pada wajah.
“Sebagai individu yang aktif di media sosial dan kerap muncul di hadapan kamera, saya akui pandangan orang terhadap penampilan memang antara perkara yang perlu dihadapi.
“Orang sentiasa ada pendapat tentang rupa kita. Ada yang memberi komen membina, tetapi ada juga yang boleh memberi tekanan,” katanya.
Menurut Hawa, segala pandangan yang diterima tidak sepatutnya menjadi sebab untuk membuat keputusan besar melibatkan rupa paras dan identiti diri.
“Bagi saya, pembedahan plastik bukan pilihan. Saya tidak mahu mengubah wajah hanya kerana ingin memenuhi standard tertentu atau disebabkan komen orang lain.
“Saya cuma mahu menambah baik apa yang sedia ada. Pada saya, kecantikan lebih kepada penjagaan yang konsisten, bukannya perubahan secara drastik,” katanya yang kini dilantik sebagai duta Estika Medispa.

Dalam pada itu, Hawa melihat rawatan anti-penuaan moden sebagai satu langkah pencegahan yang bijak untuk membantu mengekalkan seri serta keanjalan kulit secara beransur-ansur dan selamat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Estika Medispa, Dr. Haq Wasa berkata, trend kecantikan masa kini semakin menjurus kepada hasil yang lebih semula jadi serta diperoleh secara berperingkat.
Estika Medispa yang kini memasuki tahun ke-11 penubuhannya menawarkan pelbagai rawatan estetik bukan invasif dengan penekanan terhadap penggunaan teknologi moden bagi membantu pelanggan menjaga kesihatan dan kecantikan kulit tanpa perlu menjalani prosedur pembedahan.
Kerjasama bersama Hawa bukan sekadar pelantikan duta jenama, sebaliknya membawa mesej bahawa kecantikan boleh diurus dengan cara yang lebih bijak, selamat dan berperingkat tanpa perlu menjejaskan identiti atau keaslian diri.




