'Tayar Golek Pahala Molek'

'Tayar Golek Pahala Molek'

lizamridzuan@hmetro.com.my

SEMPENA bulan Ramadan yang mulia, ramai tampil menghulurkan bantuan dan melakukan amal kebajikan bagi membantu golongan memerlukan. Namun di Kuang, Selangor, pendekatan yang diambil komuniti permotoran ini cukup berbeza dan bukan sekadar menyumbang, tetapi hadir membawa semangat ukhuwah, ilmu dan inspirasi buat anak-anak yatim.

Jalan raya sekitar Kuang pada petang itu menyaksikan kehadiran lebih 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan skuter tampil segak berbaju Melayu bersamping manakala penunggang wanita anggun berbaju kurung.

Fenomena ‘Rider Beraya’ itu adalah sebahagian daripada Majlis Iftar Ramadan 1447H anjuran Kelab Permotoran Team Riders Malaysia yang bertujuan menyantuni anak-anak yatim di Asrama Damai.

Deruman enjin yang lazimnya sinonim dengan kelajuan dan adrenalina kali ini membawa mesej berbeza dalam menyampaikan kasih sayang, kebersamaan dan tanggungjawab sosial.

Program tahun ini tampil lebih istimewa dengan kehadiran penunggang kelab CBR Klang Valley (CBR KV) sebagai tetamu permotoran khas, sekali gus membuktikan bahawa persaudaraan dua roda melangkaui perbezaan jenama dan kategori motosikal.

Turut hadir wakil kelab dari Johor dan Kelantan termasuk ADV Geng Ngopi, HRJ, Selangorian Husky, ZTG Malaysia dan 700 MT Bikers Malaysia yang mengukuhkan lagi solidariti komuniti.

Presiden Team Riders Malaysia, Muhammad Izzat Mohamad Rasul atau Izzat Rasul berkata, majlis berkenaan sebagai simbol kebersamaan dalam memikul tanggungjawab sosial dan ia bukan sekadar berkongsi minat terhadap jentera, sebaliknya membentuk sebuah keluarga besar yang bergerak atas nilai persaudaraan dan keprihatinan.

“Prinsip kami jelas iaitu ‘Satu Jalan’ untuk kebaikan, ‘Satu Hati’ dalam perpaduan dan ‘Tayar Golek Pahala Molek’ sebagai bekalan akhirat,” katanya pada acara.

Selain berbuka puasa bersama, majlis itu turut diisi dengan slot pendidikan untuk anak-anak yatim, antaranya Slot Pencerahan Bahasa Inggeris oleh Tuan Haji Alias Jasmin serta taklimat peluang biasiswa Yayasan Universiti Multimedia yang disampaikan Puan Ezwani Hanafi.

Pendekatan ini memperlihatkan komuniti rider bukan sahaja menyumbang dari sudut material, malah memberi penekanan terhadap pembangunan ilmu dan masa depan generasi muda.

Timbalan Presiden CBR Klang Valley, Zulkifliee Rameli atau Zulbundle turut menekankan kepentingan keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi supaya sentiasa mengutamakan disiplin dan pemanduan berhemah.

“Pada masa sama saya ingin merakamkan penghargaan kepada Team Riders atas jemputan sebagai tetamu khas, sekali gus menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik mengeratkan ukhuwah sambil menyumbang kepada komuniti,” katanya.

Majlis yang berakhir sekitar jam 11.30 malam itu turut menyaksikan wajah ceria anak-anak yatim menerima sumbangan duit raya hasil kutipan peserta serta sokongan 21 penaja.

Ia menjadi bukti bahawa di sebalik deruman enjin yang kuat di jalan raya, tersimpan nilai keprihatinan dalam kalangan komuniti ini mereka memilih untuk memanfaatkan minat terhadap permotoran sebagai platform berkongsi rezeki dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top