Bilbao: Bintang remaja, Lamine Yamal muncul wira apabila jaringannya yang cukup cantik memastikan Barcelona menewaskan Athletic Bilbao 1-0 dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan Barcelona selaku juara bertahan kembali melebarkan kelebihan empat mata di puncak liga ke atas pencabar terdekat, Real Madrid yang sebelum itu merapatkan jurang selepas menewaskan RC Celta de Vigo.
Yamal memecah kebuntuan pada minit ke-68 menerusi rembatan lencong yang menerjah penjuru atas gawang di Stadium San Mames dalam perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick, melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama memandangkan pasukannya bakal berdepan Newcastle United dalam aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu ini.
Akibatnya, Barcelona mempamerkan aksi kurang kemas pada separuh masa pertama dengan peluang yang terhad dan jauh daripada permainan menyerang mereka.
“Kita sudah melihat apa yang mampu dilakukan Lamine. Dia meletakkan bola tepat di penjuru atas dan penjaga gol langsung tidak berpeluang menafikannya.
“Dia masih sangat muda dan pasti akan terus menjadi lebih baik.
“Apa yang penting dia tidak cepat berpuas hati, terus bekerja keras dan menikmati permainan di atas padang,” kata pemain tengah Barcelona, Pedri, kepada Movistar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




