Vokal ala Bruno Mars, pujian itu berat buat saya – Nuim

Vokal ala Bruno Mars, pujian itu berat buat saya – Nuim

Persis penyanyi antarabangsa, Bruno Mars.

Itulah reaksi yang sering diterima penyanyi baharu, Nuim. Semuanya gara-gara nada atau tona suaranya yang dikatakan hampir sama dengan teknik nyanyian yang penuh emosi seperti penyanyi terkemuka antarabangsa itu.

Walaupun perbandingan tersebut dianggap satu pujian besar, Nuim sendiri mengakui gelaran itu agak berat untuk dipikul.

Namun dia tidak menafikan bahawa Bruno Mars memang antara pengaruh terbesarnya sejak kecil.

“Sebenarnya gelaran itu agak berat untuk saya. Tapi pada masa sama, saya faham kenapa orang kata begitu, sebab banyak teknik nyanyian saya memang dipengaruhi oleh Bruno.

“Dari kecil lagi saya memang selalu dengar lagu dia. Boleh kata setiap hari saya dengar, ulang-ulang. Lama-kelamaan gaya nyanyian itu memang melekat juga dalam cara saya menyanyi,” katanya yang juga seorang pempengaruh media sosial.

Kini berusia 29 tahun, Nuim bagaimanapun menjelaskan bahawa perjalanan seninya tidak bermula sebagai pencipta kandungan media sosial seperti yang disangka sesetengah pihak.

Sebaliknya, langkah awalnya dalam dunia hiburan bermula melalui sesi uji bakat yang membuka peluang pertamanya untuk muncul di televisyen.

“Ramai ingat saya bermula sebagai pempengaruh, tapi sebenarnya tidak. Saya bermula melalui program-program uji bakat yang ada dalam industri hiburan.

“Antara yang paling awal adalah apabila saya berjaya masuk rancangan televisyen I Can See Your Voice, sekitar dua tahun sebelum pandemik Covid-19. Dari situ sebenarnya perjalanan saya dalam industri mula bergerak. Boleh kata itulah batu loncatan pertama saya,” jelasnya.

Selepas kemunculan tersebut, Nuim mula memberi tumpuan kepada pembinaan identiti muziknya di platform digital seperti TikTok dan Instagram.

Di media sosial, dia dikenali dengan video nyanyian semula lagu dalam pelbagai bahasa yang menarik perhatian ramai.

“Selepas program itu, saya mula fokus buat konten. Saya aktif di TikTok dan Instagram. Di TikTok, saya suka buat cover lagu dalam pelbagai bahasa, contohnya Korea, Jepun, Inggeris, Melayu malah Cina juga ada.

Tapi sebenarnya kebanyakan bahasa itu saya hanya tahu sebut sahaja,” katanya sambil tersenyum.

Vokal ala Bruno Mars, pujian itu berat buat saya – Nuim

Tambahnya, dalam kebanyakan rakaman video nyanyian, dia masih perlu merujuk kepada lirik bagi memastikan sebutan tepat.

“Biasanya kalau rakam konten saya akan baca lirik. Tapi kalau buat persembahan secara langsung, saya akan hafal. Jadi, memang ada perbezaan antara konten dan persembahan live,” katanya lagi.

Menariknya, Nuim mengakui bahawa bakat nyanyiannya bukan sesuatu yang datang secara semula jadi sejak kecil.

Sebaliknya, kemahirannya dibentuk melalui usaha sendiri serta pembelajaran berterusan.

“Kisah hidup saya sebenarnya agak biasa. Saya memang minat menyanyi, tapi saya bermula dari kosong. Saya belajar sendiri dengan cara tengok video di YouTube, cuba faham teknik vokal dan buat latihan sendiri.

Lama-kelamaan barulah saya nampak perubahan sampai saya boleh menyanyi seperti sekarang.

“Sebab itu, saya selalu beritahu kawan-kawan atau budak-budak yang minat menyanyi, kalau rasa tiada bakat pun tidak mengapa. Bagi saya, menyanyi itu satu kemahiran yang boleh dipelajari.

“Bakat hanya seperti ‘booster’. Kalau seseorang ada bakat, mungkin dia boleh belajar dalam sehari. Kalau tak ada, mungkin ambil masa seminggu. Tapi akhirnya dua-dua boleh sampai ke tahap yang sama,” ujarnya.

Bercakap mengenai perjalanan dalam industri muzik, Nuim tidak terlalu memikirkan soal populariti yang datang lambat atau cepat. Baginya, setiap penyanyi mempunyai perjalanan masing-masing.

“Bagi saya dalam industri muzik ini tidak ada siapa yang menang atau kalah. Lagu boleh didengar oleh semua orang dan pendengar ada banyak pilihan. Jadi, kalau lambat dikenali pun tidak mengapa. Yang penting kita terus hasilkan karya dan terus berkarya,” katanya.

Selain itu, Nuim juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan dalam industri muzik tempatan yang sentiasa memberi dorongan.

“Setakat ini Alhamdulillah, ramai kawan-kawan artis sangat mendukung kerjaya seni saya. Itu yang buat saya rasa industri muzik Malaysia sebenarnya agak positif dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Nuim, sebelum tampil sebagai penyanyi solo, dia sebenarnya lebih banyak bekerja di belakang tabir sebagai tenaga produksi muzik.

“Sebelum ini saya banyak bekerja di belakang tabir. Saya buat mixing dan mastering untuk penyanyi lain. Tapi tahun ini saya rasa kenapa tidak saya keluarkan karya sendiri pula,” jelasnya.

Antara lagu yang pernah dihasilkannya termasuk single berjudul Benci serta sebuah lagu Jepun berjudul Kawaii, yang membawa maksud comel.

“Lagu Jepun itu sebenarnya kolaborasi dengan seorang pempengaruh dari Jepun. Saya rancang untuk keluarkan lagu itu dan dia juga boleh gunakan lagu tersebut untuk kandungan media sosialnya,” katanya.

Scroll to Top