Biar rakyat sendiri pilih pemimpin baharu, bukan Trump – Menteri Luar Iran

Biar rakyat sendiri pilih pemimpin baharu, bukan Trump – Menteri Luar Iran

Washington, Amerika Syarikat: Menteri Luar Iran berkata pada Ahad bahawa rakyat Iran, bukannya Donald Trump, akan memilih pemimpin baharu mereka dan menuntut presiden Amerika Syarikat itu memohon maaf kerana memulakan perang dengan Iran.

“Kami tidak membenarkan sesiapa campur tangan dalam urusan dalaman kami. Terpulang kepada rakyat Iran untuk memilih pemimpin baharu mereka,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, kepada program NBC “Meet the Press”.

Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau sepatutnya mempunyai peranan dalam memilih pemimpin tertinggi Iran yang seterusnya selepas Ali Khamenei maut dalam serangan awal Amerika Syarikat–Israel yang bermula sembilan hari lalu.

Beliau juga menolak kemungkinan anak Khamenei, Mojtaba Khamenei, menggantikan bapanya.

Araghchi bagaimanapun enggan mengulas mengenai siapa yang bakal menggantikan Khamenei.

Media kerajaan Iran melaporkan pada Ahad bahawa badan ulama yang bertanggungjawab membuat keputusan itu telah mengundi dan nama pemimpin baharu akan diumumkan tidak lama lagi.

Beberapa ulama mencadangkan Mojtaba dipilih.

“Kita perlu menunggu ‘Assembly of Experts’ bersidang dan mengundi pemimpin tertinggi baharu, dan individu yang dipilih oleh mereka,” katanya kepada NBC.

Araghchi turut berkata Trump “perlu memohon maaf kepada rakyat rantau ini dan rakyat Iran atas pembunuhan serta kemusnahan yang mereka lakukan terhadap kami.”

Beliau mempertahankan serangan Iran yang turut mengenai negara jiran Teluk semasa perang itu, dengan menyatakan serangan tersebut disasarkan kepada pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan kerana peluru berpandu Iran tidak mampu mencapai Amerika Syarikat.

“Amerika yang memulakan perang ini terhadap kami dengan menyerang kami, dan kami hanya mempertahankan diri. Jadi jelas peluru berpandu kami tidak dapat mencapai wilayah Amerika Syarikat,” kata Araghchi.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah menyerang pangkalan dan kemudahan Amerika di sekitar kami, yang malangnya berada di wilayah negara jiran kami.”

Trump sebelum ini menyatakan peluru berpandu Iran mungkin “tidak lama lagi” mampu menyerang Amerika Syarikat.

Namun penilaian perisikan Amerika pada 2025 menyatakan Tehran tidak memiliki peluru berpandu balistik antara benua, dan mungkin hanya mampu membangunkan kira-kira 60 senjata sedemikian menjelang 2035.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top