Senjata mahal vs senjata murah

Senjata mahal vs senjata murah

ASIA Barat kini menyaksikan pertempuran pertahanan udara yang semakin meluas apabila Iran terus melancarkan peluru berpandu hampir ke seluruh rantau tersebut sebagai tindak balas serangan oleh Amerika Syarikat (AS)-Israel ke negara itu pada 28 Februari lalu.

Dilaporkan setiap peluru berpandu balistik yang dilancarkan memerlukan sekurang-kurangnya satu peluru pemintas bernilai jutaan dolar untuk memusnahkannya, malah dalam sesetengah kes lebih daripada satu peluru pemintas diperlukan.

AS, Israel dan negara-negara Teluk dilaporkan telah memintas ratusan peluru berpandu Iran sejak konflik terbaru bermula.

Peluru berpandu dan dron Iran kini terbang merentasi Asia Barat, memaksa Washington, Tel Aviv dan negara-negara Teluk menggunakan sejumlah besar peluru pemintas mahal dalam operasi pertahanan udara hanya dalam beberapa hari, sekali gus mengurangkan stok senjata penting mereka.

RM6.7 bilion untuk 100 jam pertama

Pertempuran pertahanan udara boleh menjadi sangat mahal dalam masa yang singkat. Walaupun angka rasmi konflik ini tidak didedahkan sepenuhnya, data daripada beberapa negara yang terlibat menunjukkan kos yang meningkat dengan cepat.

Menurut Pentagon, Iran melancarkan lebih daripada 500 peluru berpandu balistik dan kira-kira 2,000 dron serangan sehala sejak AS dan Israel memulakan operasi ketenteraan bersama.

Negara-negara Teluk seperti Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula memaklumkan bahawa mereka telah memintas ratusan peluru berpandu balistik.

Secara keseluruhan, negara-negara ini melaporkan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya 500 peluru berpandu balistik dan peluru berpandu jelajah serta 1,300 dron.

Tentera AS juga telah memintas pelbagai ancaman, namun sebahagian besar beban pertahanan udara dilihat dipikul oleh sekutu-sekutu mereka.

Analisis baharu oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menganggarkan kos penggunaan peluru pemintas untuk menangkis peluru berpandu dan dron Iran mencecah AS$1.7 bilion (RM6.7 bilion) dalam tempoh 100 jam pertama konflik.

Kos peluru pemintas yang tinggi

Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Teluk menggunakan sistem pertahanan udara buatan Amerika seperti Patriot.

Peluru pemintas Patriot Advanced Capability-3 (PAC-3) dianggarkan berharga sekitar AS$3.7 juta (RM14.6 juta) setiap satu.

Dalam doktrin pertahanan udara, sekurang-kurangnya dua peluru pemintas biasanya dilepaskan bagi setiap peluru berpandu yang masuk bagi memastikan sasaran berjaya dimusnahkan. Ini bermakna satu pemintasan boleh menelan kos hampir AS$8 juta (RM31 juta).

UAE yang berdepan antara jumlah serangan Iran tertinggi dalam kalangan negara Teluk, memaklumkan bahawa mereka telah menembak jatuh hampir 200 peluru berpandu setakat ini. Jika kesemuanya menggunakan peluru pemintas PAC-3, kosnya boleh mencecah kira-kira AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion).

Selain Patriot, tentera Amerika juga menggunakan Sistem Pertahanan Antipeluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) yang mempunyai peluru pemintas bernilai hampir AS$13 juta (RM51 juta) setiap satu.

Dron serangan sehala Shahed buatan Iran pula dianggarkan berharga antara AS$20,000 (RM 78,000) hingga AS$50,000 (RM197,000) setiap satu.

Berdasarkan data Pentagon, Iran telah melancarkan dron bernilai kira-kira AS$40 juta (RM157 juta) pada tahap minimum. Nilai itu bersamaan dengan kos kurang daripada 11 peluru pemintas PAC-3 atau kurang daripada empat peluru pemintas THAAD.

Perbandingan kos peluru berpandu dan peluru pemintas

Sistem Senjata Negara Anggaran Kos

Fateh-110 Iran AS$200,000 (RM789,000)

Shahab-3 Iran AS$500,000 – AS$1 juta (RM1.97 juta-RM3.9 juta)

Tomahawk AS AS$1.5 – AS$2 juta (RM5.9 juta-RM7.8 juta)

Patriot PAC-3 (pemintas) AS AS$3 juta– AS$4 juta (RM11.8 juta-RM 15.7 juta)

Ringkasan AI

  • ASIA Barat mengalami pertempuran pertahanan udara yang meluas akibat serangan Iran dengan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel
  • Peluru berpandu balistik dari Iran memerlukan sekurang-kurangnya satu peluru pemintas bernilai jutaan dolar untuk dimusnahkan
  • Iran telah melancarkan lebih dari 500 peluru berpandu balistik dan kira-kira 2,000 dron serangan sehingga merentasi Asia Barat
  • Kos penggunaan peluru pemintas untuk menangkis serangan Iran mencecah AS$1.7 bilion (RM6.7 bilion) dalam 100 jam pertama konflik
  • Peluru pemintas Patriot dan THAAD yang digunakan oleh AS, Israel dan negara-negara Teluk mempunyai harga yang sangat tinggi per unit
Scroll to Top