
Polis mendapati mayat mangsa disembunyikan di bawah lambakan pakaian, manakala serbuk kopi dipercayai ditaburkan di atas jenazah untuk menutup bau busuk. Foto: Agensi
JAWA BARAT – Seorang wanita terkejut apabila menemui mayat ibunya berusia 56 tahun ketika membersihkan kediaman warga emas tersebut di Meruyung, Limo, Depok pada Sabtu.
Wanita itu yang dikenali sebagai L berkata, pada awalnya dia menyangka ibunya, DH berada di Sukabumi, Jawa Barat berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga.
Kecurigaan mula timbul apabila dia bersama teman lelakinya, R kembali ke kediaman ibunya buat kali kedua untuk membersihkan bilik dan mengemas pakaian.
Menurut L, ketika sedang memasukkan timbunan pakaian ke dalam plastik, mereka terkejut apabila melihat sepasang kaki manusia yang hanya tinggal tulang dengan keadaan kulit yang mengering.
Pihak polis mendapati mayat tersebut disembunyikan di bawah lambakan pakaian, manakala serbuk kopi dipercayai ditaburkan di atas jenazah bagi menyamarkan bau pembusukan.
Selain itu, beberapa barangan berharga milik DH dilaporkan hilang, termasuk sebuah motosikal, dokumen, kunci serta telefon bimbit.
Penyiasatan kini tertumpu kepada suami menerusi perkahwinan tidak didaftarkan yang selama ini tinggal serumah.
Ketua Polis Cinere, Kompol Chairul Saleh berkata, hubungan rumah tangga antara DH dan suami sirinya kerap dilaporkan berlaku pertengkaran.
Bagaimanapun, suspek kini dilaporkan hilang tanpa jejak dan olis terus menjalankan siasatan rapi serta memburu suami berkenaan yang dipercayai mengetahui punca kematian DH.
Pihak berkuasa juga meneliti kemungkinan motif samun berikutan kehilangan beberapa barangan berharga milik mangsa.
Ringkasan AI
- Seorang wanita di Jawa Barat terkejut menemui mayat ibunya yang berusia 56 tahun ketika membersihkan rumah
- Mula menyangka ibunya berada di Sukabumi berdasarkan informasi keluarga
- Mayat tersebut ditemukan tersembunyi bawah timbunan pakaian dan disamarkan baunya dengan serbuk kopi
- Beberapa barang berharga milik mangsa dilaporkan hilang
- Penyiasatan polis kini tertumpu kepada suami mangsa yang hilang tanpa jejak



