KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) bakal melebarkan sayap dengan menambah enam cawangan baharu pada Jun ini, menjadikan keseluruhan rangkaian syarikat itu sebanyak 15 di seluruh negara.
Pengerusi KESS, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, lokasi baharu yang bakal dibuka itu termasuk Sandakan dan Tawau di Sabah, Bertam, Pulau Pinang serta Miri dan Kuching di Sarawak.
Menurutnya, langkah untuk menambah cawangan ini diambil kerana melihat minat yang tinggi daripada pelanggan selain memudahkan mereka membeli emas di Sri Semantan.
“Sebelum ini kami bermula secara ‘offline’ selama dua tahun, kemudian baru beralih ke platform ‘online’. Alhamdulillah, saya tidak sangka akan mendapat sambutan yang sangat baik, termasuk daripada peminat sebelum ini.
“Malah ada antara mereka sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan produk kami. Jadi, selepas menilai keseluruhan prestasi cawangan sedia ada, kami mengambil keputusan untuk menambah cawangan.
“Sebelum ini, kami pernah membuka kedai yang menjual baju dan kasut bundle dan kini mencuba konsep pre-loved. Ia memberikan kelebihan tersendiri kerana pelanggan dapat memperoleh barangan pada harga lebih berpatutan tanpa menjejaskan kualiti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada program Iftar Perdana Sri Semantan Car Achiever Club (SSCAC).
Turut diadakan, perarakan kereta mewah dari pekarangan Karangkraf dan Masjid Negeri Shah Alam ke Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Perarakan kereta mewah dari Karangkraf dan Masjid Negeri Shah Alam ke IDCC Shah Alam.
Sementara itu, Pengarah Akademi dan Kejurulatihan Sri Semantan, Zuraidi Abd Rahman memaklumkan bahawa program tersebut diadakan bagi meraikan ahli yang berjaya mencapai sasaran dalam kempen kereta yang dilaksanakan pada awal tahun ini.
Beliau berkata, menerusi kempen tersebut, ahli perlu menyahut cabaran Special Trade-In (STI) dengan mencapai sasaran trade-in sebanyak 200 gram emas untuk berpeluang memenangi ganjaran kereta Mercedes CLA.
“Kami menawarkan 500 unit Mercedes CLA dan setakat ini sebanyak 150 ahli telah berjaya mencapai sasaran tersebut. Kami amat berbangga dengan kesungguhan mereka yang sanggup berusaha keras bagi mencapai kejayaan dalam kempen ini.
“Ia dijangka akan terus mendapat sambutan hangat daripada semua ahli. Walaupun kami tidak menetapkan sasaran berakhirnya kempen ini, namun diharapkan mereka tidak melepaskan peluang yang disediakan oleh syarikat.
“Jadi, Majlis Iftar Perdana ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada ahli-ahli yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mencapai sasaran kempen yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah Zuraidi, program seperti ini juga memberi ruang kepada ahli untuk berkumpul, berkongsi pengalaman serta mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam komuniti Sri Semantan.
“Dengan sokongan dan usaha berterusan daripada ahli, kami percaya lebih ramai akan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya berpeluang memenangi ganjaran kereta Mercedes CLA melalui cabaran 200 gram STI,” jelasnya.
Ringkasan AI
- KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) akan menambah enam cawangan baharu menjadikan jumlah keseluruhan cawangan menjadi 15
- Lokasi cawangan baharu termasuk Sandakan dan Tawau di Sabah, Bertam, Pulau Pinang serta Miri dan Kuching di Sarawak
- Peningkatan cawangan datang sebagai respons terhadap minat tinggi dan permintaan pelanggan
- Sebelum ini KESS beroperasi secara ‘offline’ selama dua tahun sebelum beralih ke platform ‘online’
- Program Iftar Perdana anjuran KESS merupakan penghargaan kepada ahli yang mencapai sasaran dalam kempen trade-in emas



