hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan rumah teres sebagai stor transit terbongkar selepas polis merampas 3.4 tan syabu bernilai RM170 juta dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, 2 Mac lalu.
Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi ‘Op Chrysogaster’ itu merekodkan antara rampasan terbesar membabitkan 3,402.18 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi bersepadu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM180.8 juta.
“Siasatan mendapati sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember 2025 ini mempraktikkan modus operandi menyewa lori untuk membawa bekalan dadah dari utara Semenanjung ke Lembah Klang.
“Dadah kemudian disimpan di rumah teres yang disewa khusus sebagai stor transit sebelum ia dipasarkan secara meluas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di Taman Gembira, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 44 tahun yang sedang leka memunggah guni putih dari dalam rumah ke sebuah lori jenis Mitsubishi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam lori dan premis terbabit menemukan 128 guni putih mengandungi 3,205 bungkusan syabu seberat 3,320.69 kg, selain empat peket plastik lutsinar berisi pil ekstasi seberat 1.4 kg.
“Susulan tangkapan itu, pasukan polis menyerbu lokasi kedua di sebuah lagi rumah teres di Taman Overseas Union Garden (OUG), Jalan Klang Lama.
“Pemeriksaan berjaya merampas tiga lagi guni putih dan satu beg kuning mengandungi 79 bungkusan syabu seberat 81.4 kg,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan, beliau mendedahkan siasatan mendapati suspek pertama bertindak sebagai ‘transporter’ manakala suspek kedua adalah ahli sindiket utama.
Lebih mengejutkan, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo, selain memiliki 14 rekod kesalahan lampau membabitkan 12 kes dadah serta dua kes jenayah.
Hussein berkata, kejayaan merampas syabu bernilai RM170 juta itu adalah satu pukulan besar kepada sindiket pengedaran dadah berikutan jumlah berkenaan mampu memusnahkan nyawa seramai 17 juta pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari bermula 3 Mac hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




