Khaled Nordin ucap takziah, warisan ‘Guru Bangsa’ Syed Muhammad Naquib akan terus menyala

Khaled Nordin ucap takziah, warisan ‘Guru Bangsa’ Syed Muhammad Naquib akan terus menyala

Negara sekali lagi kehilangan seorang ilmuwan agung apabila Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas kembali ke rahmatullah, sekali gus meninggalkan legasi ilmu dan peradaban yang tidak ternilai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menzahirkan rasa dukacita mendalam atas pemergian tokoh akademik dan pemikir besar itu, yang dianggap sebagai “Guru Bangsa” bagi generasi Malaysia.

Khaled Nordin ucap takziah

Menurut Khaled Nordin, pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang profesor atau penulis prolifik, tetapi juga hilangnya seorang jiwa besar yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk membina tradisi ilmu dan memperkasa peradaban umat.

“Sepanjang hayatnya, Allahyarham mengingatkan kita bahawa krisis sebenar umat bukan semata-mata kekurangan pengetahuan, tetapi kehilangan adab dalam memahami dan memanfaatkan ilmu,” katanya.

Tambah beliau, sumbangan Allahyarham terhadap bangsa Melayu amat besar, termasuk usaha mengangkat kembali keyakinan bahawa peradaban Melayu berakar pada Islam dan Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu merentasi seluruh Alam Melayu.

Melalui karya dan pemikirannya, Allahyarham menjemput kita meninjau sejarah dan jati diri dengan pandangan lebih bermaruah dan berwibawa.

Sebagai mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin menegaskan bahawa pemikiran Allahyarham memainkan peranan penting dalam pembinaan falsafah pendidikan tinggi negara, termasuk penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).

Kedua-dua institusi ini kini menjadi medan pertemuan sarjana dari seluruh dunia untuk menghidupkan tradisi keilmuan Islam yang mendalam.

“Allahyarham bukan sahaja seorang pemikir, malah mahir dalam ilmu heraldry.
“Beliau terlibat dalam mereka bentuk beberapa lambang penting negara, termasuk bendera UMNO dan logo asal UKM, menunjukkan keluasan bakat serta kefahaman bahawa simbol dan makna adalah sebahagian daripada pembinaan tamadun,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Khaled Nordin turut mengajak rakyat Malaysia untuk menilai semula warisan pemikiran Guru Bangsa ini dan memastikan semangat keilmuan yang diperjuangkannya terus hidup.

“Sesungguhnya, kemajuan negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui penghargaan terhadap ilmu dan para sarjana yang mengabdikan hidup mereka untuk masyarakat,” tegas beliau.

Artikel lain: Kehilangan besar dunia akademik, KPT ucap takziah kepada keluarga Syed Muhammad Naquib

Dalam tradisi Islam, ilmu yang bermanfaat merupakan amal yang tidak terputus walaupun seseorang telah kembali kepada Penciptanya.

Menurutnya, jasad Allahyarham telah kembali, namun legasi dan pemikirannya akan terus menyala sebagai pelita ilmu untuk generasi akan datang.

Sumber: FB Khaled Nordin

Scroll to Top