Beijing: Seorang pekebun di China terkejut selepas menemui zarah emas bernilai kira-kira 12,000 yuan (kira-kira RM47,585) di dalam perut itik peliharaannya, lapor South China Morning Post.
Lelaki yang dikenali sebagai Liu menemui zarah emas itu di daerah Longhui, wilayah Hunan, China tengah, selepas menyembelih itik berkenaan untuk makan malam.
Difahamkan, Liu memotong perut itik itu untuk dimasak dan mendapati beberapa zarah berwarna emas bercampur dengan isi perutnya.
Pada mulanya Liu menyangka zarah berkenaan hanya batu kecil atau serpihan logam sebelum menyedari kilauan yang berbeza.
Zarah yang ditemui Liu itu sekitar 10 gram (g) dengan nilai anggaran kira-kira 12,000 yuan (kira-kira RM47,585).
Liu menjalankan ujian panas secara ringkas, satu kaedah yang sering digunakan untuk membezakan emas daripada logam lain dan apabila butiran berkenaan tidak berubah warna selepas dibakar, dia mengesyaki ia mungkin emas sebenar.
Dalam pada itu, Biro Sumber Asli Daerah Longhui berkata, pengesahan lanjut oleh agensi pakar diperlukan untuk memastikan sama ada zarah itu emas atau tidak.
Pihak berkuasa tempatan pula menyifatkan, penemuan itu munasabah memandangkan sejarah geologi kawasan itu, yang mana sungai tempatan diketahui mengandungi zarah emas semula jadi.
Hunan terkenal dengan sumber mineralnya, termasuk rizab emas luas di medan emas Wangu, Pingjiang yang berpotensi menghasilkan lebih 1,000 tan emas.
Emas juga boleh ditemui dalam ‘deposit plaser’ di sedimen sungai, di mana zarah kecil terhakis dari bijih dan dibawa ke hilir, lalu terkumpul di lumpur tebing sungai.
Susulan itu, menurut media sama, itik yang mencari makan di lumpur dan air cetek boleh menelan batu kecil dan sedimen, membolehkan mineral terkumpul di sistem pencernaan mereka.
Difahamkan, itik yang ditemui Liu dibela berhampiran laluan air, dan ia bebas mencari makan di tebing sungai atau tanah berlumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




