Individu main isu perkauman, peralat agama demi kepentingan diri musuh keharmonian negara!

Individu main isu perkauman, peralat agama demi kepentingan diri musuh keharmonian negara!

Polis dan agensi penguatkuasaan diseru mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa kompromi terhadap mereka yang menyebarkan hasutan, provokasi dan fitnah sama ada secara terbuka mahupun melalui media sosial.

Individu main isu perkauman, peralat agama musuh keharmonian!

Menurutnya, individu-individu yang secara berterusan memainkan isu perkauman dan memperalatkan agama demi kepentingan sendiri sebenarnya adalah musuh kepada keharmonian negara.

Ujar beliau, perbuatan kumpulan itu bukan sahaja merosakkan hubungan antara masyarakat, malah mengancam kestabilan serta perpaduan yang telah dibina sekian lama.

“Kita mesti sentiasa ingat bahawa negara ini jauh lebih besar daripada mana-mana individu yang bersikap melampau.
“Tiada sesiapa pun berhak merosakkan keamanan dan perpaduan yang menjadi asas kekuatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa juga harus sentiasa memantau aktiviti pihak-pihak ini baik di belakang tabir mahupun di platform media sosial agar sebarang usaha untuk memecahbelahkan rakyat dapat dihentikan lebih awal, katanya.

Artikel lain: Isu perkauman: KPN berperanan harmonikan keadaan, tak kompromi pihak gugat perpaduan

Sementara itu, Yuneswaran turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi penguatkuasaan berkaitan menggunakan kepakaran forensik digital, analisis alamat IP (IP tracing) serta risikan siber (cyber intelligence) bagi mengenal pasti identiti sebenar individu di sebalik akaun-akaun yang menyebar kebencian agama dan kaum.

Katanya, tindakan pengesanan itu penting supaya mereka yang menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kebencian tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Media sosial bukan ruang tanpa undang-undang. Setiap individu harus bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dan disebarkan.
“Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan provokasi, menghina agama, memperlekeh kaum atau menggugat keharmonian masyarakat,”katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai sentiasa ingat bahawa negara ini jauh lebih besar daripada mana-mana individu yang bersikap melampau.

Tegasnya, tiada sesiapa pun berhak merosakkan keamanan dan perpaduan yang menjadi asas kekuatan Malaysia.

Sumber: FB Yuneswaran Ramaraj

Scroll to Top