am@hmetro.com.my
Alor Gajah: “Dua minggu bercuti di rumah awal Ramadan lalu, Syakir banyak berbaring di biliknya dan kurang bercakap. Bukan saja saya dan isteri rasa pelik, malah neneknya juga perasan perubahan sikapnya,” kata polis bantuan, Syaiful Aizam Zainal Abidin, 52.
Anak sulungnya, Muhammad Syakir Afdzan Syaiful Aizam, 25, maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar lori 10 tan di Jalan Durian Daun, di sini, Sabtu lalu.
Syaiful Aizam berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang juga anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) (Para) di Kem Terendak itu menjadi petanda pemergiannya buat selama-lamanya.
Menurutnya, arwah pulang bercuti selama dua minggu selepas mengikuti kursus menembak hampir tiga bulan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
“Dia banyak baring dalam bilik dari pagi. Kalau bangun pun hanya untuk makan, tapi tak banyak bercakap.
“Saya ada tanya jika dia sakit, tetapi Syakir hanya tersenyum,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah.
Katanya, dia menerima panggilan daripada seorang rakan sekerja anaknya kira-kira jam 10.15 pagi hari kejadian memaklumkan Muhammad Syakir terbabit dalam kemalangan.
“Saya sangka kemalangan biasa, tetapi sebaik tiba di lokasi saya terkejut melihat kecederaan parah dialami arwah.
“Ketika itu dia masih bernafas dan saya ajar dia mengucap. Saya panggil namanya beritahu saya sudah datang, tetapi tiada tindak balas,” katanya sebak.
Menurutnya, arwah turut diberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam dan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Syaiful Aizam yang bertugas di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu berkata, kira-kira seminggu sebelum kejadian arwah memaklumkan bakal dinaikkan pangkat Lans Koperal bulan ini.
“Arwah ada mesej WhatsApp minta saya carikan sijil APAC (Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat) untuk urusan kenaikan pangkat dan beritahu akan pulang mengambilnya tanpa menyatakan bila tarikh dan waktunya.
“Itulah mesej terakhirnya dan semua sijil itu sudah saya asingkan untuknya… tetapi tidak sangka dia kemalangan. Namun, kami sekeluarga reda,” katanya.
Sementara itu, ibu tirinya, Zuraidah Borhanuddin, 48, berkata perubahan sikap arwah turut disedari ahli keluarga lain ketika pulang bercuti dua minggu lalu.
“Biasanya kalau balik rumah dialah yang banyak bercerita mengenai pengalaman di kem atau kursus kepada ayahnya.
“Tetapi kali ini dia hanya duduk di bilik, tidak buat apa-apa… termasuk basuh keretanya seperti selalu. Kami sangka dia penat dan mahu berehat. Bila panggil makan dia jawab sepatah ‘ya’. Kehilangannya menjelang Syawal ini sangat dirasai,” katanya.
Menurutnya, arwah seorang anak yang penyayang dan gemar membawa keluarga makan menu asam pedas di luar setiap kali pulang bercuti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




