BUKIT MERTAJAM : Dua pekerja taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang disyaki menjadi mangsa dera, hari ini.
Kedua-dua pekerja terbabit iaitu wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh keluarga kepada bayi malang itu.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, bayi terbabit, Hayl Haarith Mohd Syafaeez dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah taska yang terletak dalam kawasan hospital tersebut.
Anak tunggal kepada pasangan Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, dan Ummu Habibah Wahab, 30, itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Menurut Mohd. Syafaeez, dia tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya itu meninggal dunia akibat didera oleh kedua-dua pekerja taska tersebut.
“Sebagai bapa, saya akan tuntut keadilan supaya tragedi seumpama ini tidak menimpa ibu bapa yang lain. Selalunya saya hanya melihat tragedi ini berlaku di tempat lain, namun, hari ini saya sendiri yang terkena,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.
Jelas Mohd. Syafaeez, jenazah bayinya dijangka dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut di Marang, Terengganu.




