'Coach Cerai' sedia tukar nama komersial lepas bincang dengan JAKIM

'Coach Cerai' sedia tukar nama komersial lepas bincang dengan JAKIM

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembimbing individu selepas perceraian, Mohd Izary Muhammed Ikhbal yang lebih dikenali ‘Coach Cerai’ sedia mempertimbangkan nama komersialnya yang mengundang kontroversi sebelum ini.

Mohd Izary, 46, mengakui nama ‘Coach Cerai’ itu sudah dikenali umum dan membantunya daripada segi pemasaran.

Bagaimanapun, Mohd Izary berkata, dia perlu mengambil kira maklum balas khususnya pandangan negatif yang kurang senang dengan nama ‘Coach Cerai’ itu.

Katanya, keinginan menukar nama itu juga kerana mengambil pandangan hasil pertemuannya dengan wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Baru baru ini saya dijemput berdialog dengan JAKIM, bila saya sampai ada jabatan agama yang lain untuk bincang tentang peranan dan fungsi bimbingan selepas perceraian.

“Alhamdulillah selepas beri penjelasan, mereka sangat menyokong usaha saya ini. Mereka nampak keperluan membantu individu yang melalui perceraian untuk bangkit semula.

“Mereka mengaku sekarang ini tak ada program membantu orang pasca perceraian namun cadangkan saya pertimbangkan nama ‘Coach Cerai’ bukan sebab kerja itu tak baik… tapi perkataan itu menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat,” katanya menerusi hantaran video di Instragram (IG).

Mohd Izary berkata, dia belum memikirkan nama komersial yang baru untuk digunakan dan menghargai cadangan bernas daripada orang ramai.

“Saya pun tak tahu wajar atau tak tukar (nama) tapi sebab banyak sangat maklum balas, saya tak perlu angkuh dan berdegil sebab niat saya bukan sebab nak bagi tular.

“Tapi niat saya nak membantu orang membina kehidupan selepas perceraian.

“Sekarang saya tengah pertimbangkan apa nama patut saya pakai kalau bukan ‘Coach Cerai’ apa nama sesuai untuk misi saya jalankan.

“Saya hargai sokongan, tolong beritahu (cadangan),” katanya.

Terdahulu, Mohd Izary dikecam hebat warganet dan orang ramai selapas tular kisahnya yang menawarkan khidmat membimbing individu selepas perceraian dengan nama komersialnya, ‘Coach Cerai’.

Media turut melaporkan kenyataan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang turut mengecam dan membantah penggunaan nama ‘Coach Cerai’ kerana mengelirukan dan menjejaskan proses rundingan juga perdamaian pasangan suami isteri yang berdepan kemelut rumah tangga.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dilapor berkata, perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran sah dan berautoriti.

Beliau dipetik berkata, kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti ‘Coach Cerai’ menarik perhatian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga serta krisis perkahwinan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top