am@hmetro.com.my
Kluang: Kelibat harimau belang yang dirakam pemilik di kebun dekat Kampung Rahmat, di sini adalah pertama kali memandangkan belum pernah direkodkan kehadirannya sebelum ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan harimau terbabit tersesat hingga ke kawasan itu.
Menurut Aminuddin, siasatan dijalankan anggota Perhilitan di lokasi susulan aduan berhubung penularan video diterima mendapati ia adalah munasabah.
“Perhilitan sudah menjalankan siasatan awal dan adalah munasabah. Kawasan ini belum pernah merekodkan kehadiran harimau sebelum ini.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan harimau terbabit tersesat hingga ke kawasan ini,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, Aminuddin berkata, atas faktor keselamatan penduduk berhampiran, Perhilitan memasang perangkap kamera bagi mengesan sama ada harimau itu masih berkeliaran di kawasan terbabit atau sebaliknya.
Katanya, pada ketika ini, Perhilitan juga mengadakan kawalan serta mengambil langkah perlu bagi memastikan harimau untuk sudah keluar dari kawasan berkenaan.
Semalam, seorang pemilik kebun sempat merakam kelibat harimau belang selepas dikesan melintas di hadapan kenderaan yang dinaiki mereka.
Kejadian berlaku ketika pemilik kebun terbabit menaiki pacuan empat roda, mahu mengambil pekerja tidak jauh dari lokasi.
Susulan itu, penduduk berhampiran diminta berwaspada serta tidak menjauhkan diri atau mengganggu haiwan terbabit kerana boleh membahayakan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




