KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Selangor menerima kunjung hormat daripada Koperasi Industri Rakaman Muzik Berhad (KOIRAMA) bagi membincangkan cadangan penganjuran Pertandingan Cipta Lagu AI untuk Produk Koperasi di Malaysia sebagai usaha memperkukuh promosi produk koperasi melalui pendekatan kreatif.
Sesi perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Alias Hamzah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi ANGKASA Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad; Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN), Pn. Che Al-Mahera Che Ibrahim; Penolong Pegawai Kerja, En. Abdul Alim bin Samsol Kamal; serta Penolong Pegawai ANGKASA Negeri Selangor, En. Mohd. Zabid Roslan.
Turut hadir mewakili KOIRAMA ialah Pengerusi Koperasi, En. Ayob Abd. Majid; Setiausaha Koperasi, Hj. Rozman bin Abbas; serta Ahli Lembaga Koperasi (ALK), En. Rosli bin Sabtu.
Ayob berkata, pertandingan itu dicadangkan sebagai satu pendekatan baharu bagi membantu koperasi mempromosikan produk masing-masing dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kreativiti industri muzik.
“Melalui pertandingan ini, koperasi yang berminat hanya perlu menghantar maklumat produk mereka serta membuat bayaran penyertaan sebanyak RM300 untuk mengambil bahagian,” katanya.
Jelas beliau, setiap koperasi yang menyertai program tersebut juga akan menerima sebuah lagu promosi khas yang dihasilkan menggunakan teknologi AI dengan sentuhan komposer berpengalaman dalam industri muzik.
Menurutnya, lagu tersebut boleh dimanfaatkan sebagai bahan promosi dalam pelbagai platform termasuk kempen media sosial, video promosi, iklan digital, acara koperasi serta pemasaran dalam talian.
Dalam pada itu, pertandingan tersebut turut melibatkan komuniti komposer lagu AI yang berdaftar di platform AIMXCHANGE yang menghimpunkan pencipta lagu dan peminat muzik dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Mohd. Alias berkata, cadangan berkenaan dilihat berpotensi menjadi antara inisiatif awal yang menggabungkan gerakan koperasi dengan teknologi muzik AI serta ekosistem kreatif digital.
“Pendekatan ini bukan sahaja mampu memberi identiti penjenamaan lebih unik kepada produk koperasi, malah berupaya memperluaskan capaian promosi melalui platform digital,” katanya.




