
Ab Ghani (kiri) menjawab pertanyaan media pada majlis berbuka puasa MFL bersama media pada Isnin.FOTO: BERNAMA
PRESIDEN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan enggan mengulas khabar angin yang mengaitkan namanya sebagai antara calon berpotensi untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau berkata, perkara berkenaan tidak wajar diperkatakan ketika ini dan memilih untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya bersama badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu.
“Saya tak tahu (dikaitkan)…tak payah cakap (pencalonan presiden FAM)…saya masih lagi Presiden MFL,” katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengaitkan Ab Ghani sebagai antara individu berpotensi bertanding bagi mengisi jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan akan datang.
Selain Ab Ghani, beberapa nama lain turut dikaitkan media tempatan ialah antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan tokoh korporat Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Setakat ini, hanya Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan minat untuk menerajui FAM.
Menurut statut FAM, calon presiden mesti mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada keseluruhan 18 ahli gabungan untuk layak bertanding.
Januari lepas, kesemua Ahli Jawatankuasa FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan krisis yang melanda badan induk itu.
Krisis dalam FAM bermula pada September tahun lepas selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).-Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Liga Bolasepak Malaysia Ab Ghani Hassan enggan mengulas khabar angin tentang kelibatannya sebagai calon Presiden FAM
- Ab Ghani memilih untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab bersama Liga Malaysia
- Spekulasi mengaitkan Ab Ghani dan beberapa individu lain sebagai calon Presiden FAM
- Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menyatakan minat untuk menerajui FAM
- Krisis dalam FAM bermula selepas FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain melanggar Kod Tatatertib



