Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang membolehkan sebahagian besar masyarakat pulang ke kampung lebih awal.
Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026 yang dikeluarkan kementerian itu, cuti tambahan sehingga dua hari diberikan kepada sekolah bergantung kepada kumpulan negeri masing-masing.
Menurut KPM, bagi negeri Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, cuti tambahan bermula pada 19 Mac.
“Bagi Kumpulan B yang merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan menikmati cuti tambahan selama dua hari iaitu pada 19 Mac dan 20 Mac,” kata kementerian itu.
Pengumuman tersebut sekali gus membolehkan sebahagian besar ibu bapa, guru dan pelajar memulakan perjalanan pulang ke kampung lebih awal menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada 21 Mac.
Dalam masa sama, cuti tambahan itu turut bersambung dengan cuti penggal pertama persekolahan.
Bagi negeri Kumpulan A, cuti penggal akan berlangsung selama sembilan hari bermula 20 hingga 28 Mac.
Sementara itu, negeri dalam Kumpulan B pula akan menikmati cuti penggal dari 21 hingga 29 Mac.
Keadaan itu memberi peluang kepada warga sekolah menikmati tempoh rehat lebih panjang selain memudahkan perancangan perjalanan pulang berhari raya bersama keluarga.




