Australia akan hantar pesawat tentera jarak jauh, peluru berpandu ke wilayah Teluk

Australia akan hantar pesawat tentera jarak jauh, peluru berpandu ke wilayah Teluk

ISTANBUL  – Australia akan mengerahkan pesawat tentera jarak jauh dan peluru berpandu ke rantau Teluk dalam usaha membantu melindungi rakyatnya susulan konflik yang sedang memuncak, lapor Anadolu Ajansi.

Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata pada Selasa, langkah itu melibatkan penghantaran sebuah pesawat pengintip E-7A Wedgetail bagi menyediakan keupayaan peninjauan jarak jauh serta membantu mengawal ruang udara di kawasan berkenaan.

“Pesawat Wedgetail akan menyediakan keupayaan peninjauan jarak jauh yang akan membantu melindungi dan mengawal ruang udara di atas wilayah Teluk. Pesawat itu bersama kakitangan Angkatan Pertahanan Australia akan ditempatkan selama empat minggu sebagai sokongan kepada pertahanan kolektif negara-negara Teluk,” katanya kepada pemberita di Canberra.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan perbincangan dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, serta permintaan daripada rakan kongsi serantau.

Selain itu, Australia juga berhasrat untuk membekalkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana yang canggih kepada UAE.

Albanese berkata, konflik di Asia Barat semakin sengit sejak seminggu lepas, dengan beberapa negara di rantau itu berdepan ancaman peluru berpandu dan dron.

Menurut beliau, UAE sahaja telah memintas lebih 1,500 roket dan dron, sambil memberi amaran bahawa serangan itu mendatangkan risiko serius kepada nyawa orang awam.

“Terdapat lebih 20,000 rakyat Australia yang menetap di UAE dan kira-kira 115,000 di seluruh Asia Barat,” kata Albanese sambil menegaskan bahawa perlindungan rakyatnya di luar negara kekal menjadi keutamaan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerajaannya tidak mengambil sebarang tindakan ofensif terhadap Iran dan tidak akan mengerahkan tentera darat.

Ketegangan serantau melonjak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari lepas, yang mengorbankan lebih 1,250 orang termasuk bekas Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei, selain pelajar sekolah dan pegawai kanan tentera.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan bertubi-tubi yang menyasarkan pangkalan AS, kemudahan diplomatik dan anggota tentera di seluruh rantau itu, serta beberapa bandar di Israel. – Bernama-Anadolu

 

 

 

Ringkasan AI

  • Australia akan mengerahkan pesawat tentera dan peluru berpandu ke rantau Teluk untuk melindungi rakyatnya
  • Perdana Menteri Anthony Albanese mengumumkan penghantaran pesawat pengintip E-7A Wedgetail untuk keupayaan peninjauan jarak jauh
  • Australia membekalkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana kepada UAE
  • Konflik di Asia Barat meningkat dengan ancaman peluru berpandu dan dron
  • Australia tidak mengambil tindakan ofensif terhadap Iran dan tidak akan mengerahkan tentera darat
Scroll to Top