Pelajar maut: MSOSH gesa tindakan tegas terhadap majikan

Pelajar maut: MSOSH gesa tindakan tegas  terhadap majikan

Kuala Lumpur: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar di Teluk Intan, Perak, selepas terkena sabit berhulu panjang yang dibawa penunggang motosikal lain.

Presiden MSOSH Datuk Wira Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, tragedi itu menunjukkan kegagalan majikan melaksanakan operasi kerja selamat apabila peralatan kerja menjadi ancaman kepada keselamatan orang awam.

“Kecuaian seperti ini tidak boleh diterima. Jika terdapat unsur kecuaian dalam pengendalian operasi kerja, pihak berkuasa, khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), perlu bertindak tegas terhadap majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berpandangan bahawa ahli keluarga mangsa berhak mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan sekiranya kecuaian terbukti membawa kepada kematian.

Ahmad Fakhrul turut menegaskan tahap kesedaran keselamatan masih belum memadai walaupun pelbagai kempen telah dijalankan.

Beliau mencadangkan usaha memperkukuhkan kesedaran keselamatan perlu diperluaskan kepada sektor yang menggunakan peralatan tajam seperti pertanian, landskap dan kerja lapangan.

Bagi mengelakkan kejadian serupa, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika membawa peralatan tajam, termasuk menggunakan sarung pelindung dan kaedah pengangkutan selamat.

“MSOSH merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap insiden ini menjadi peringatan serius agar keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan Adham Faisal, 17, pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, maut apabila lehernya terhiris sabit berhulu panjang ketika motosikal yang dinaikinya berselisih dengan motosikal membawa senjata itu di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan.

Rakan mangsa berusia 18 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan pada tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top