TEL AVIV – Agensi berita Iran, Tasnim News Agency pada Isnin menerbitkan laporan yang mempromosikan spekulasi palsu bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mungkin telah terbunuh atau cedera,
Menurut akhbar Jerusalem Post, ia menghidupkan semula khabar angin perang yang berulang kali tersebar dalam talian sepanjang konflik Israel-Iran yang sedang berlaku.
Artikel daripada Tasnim News Agency yang berbahasa Parsi itu tidak mengemukakan bukti mengenai sebarang serangan terhadap Netanyahu atau pengesahan rasmi bahawa beliau tercedera.
Laporan itu juga memetik dakwaan tidak langsung yang dikaitkan dengan bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS), Scott Ritter melalui media Russia, yang mendakwa Iran telah mengebom tempat persembunyian Netanyahu dan bahawa adik beliau telah terbunuh.
Namun, Tasnim sendiri menyatakan bahawa spekulasi tersebut tidak disahkan atau dinafikan secara rasmi.
Bagaimanapun, Netanyahu dalam satu kenyataan semalam memberi amaran bahawa serangan ketenteraan Israel terhadap Iran belum selesai lagi sambil berkata, operasi itu sedang melemahkan kepimpinan ulama negara tersebut.
“Aspirasi kami ialah membawa rakyat Iran untuk melepaskan diri daripada belenggu kezaliman,” kata Netanyahu ketika melawat Markas Pemerintah Kesihatan pada malam Isnin, menurut kenyataan yang diterbitkan pada Selasa. – AGENSI




