Makkah: Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Dua Masjid Suci mengaktifkan pelan operasi komprehensif bagi 10 hari terakhir Ramadan yang berteraskan empat aspek utama iaitu perkhidmatan operasi, penyelenggaraan, pengurusan orang ramai dan pengayaan pengalaman ibadah, lapor Agensi Berita Arab Saudi.
Bagi mengurus lonjakan kehadiran jemaah yang dijangka meningkat, pihak berkuasa menggunakan teknologi Internet benda (IoT) serta skrin berkod warna untuk memantau kepadatan jemaah secara masa nyata, sekali gus membantu memberi panduan kepada jemaah untuk ke kawasan yang kurang sesak.
Usaha penyelenggaraan turut dipertingkat bagi memastikan sistem penyaman udara, pencahayaan dan bunyi beroperasi pada tahap optimum, manakala pengurusan orang ramai diperkukuh dengan penggunaan peta interaktif 3D dan penjejakan kod bar.
Bagi jemaah yang menunaikan iktikaf, pihak berkuasa menyediakan pelbagai perkhidmatan logistik dan perubatan khusus, selain panduan solat digital serta naskhah Al-Quran dalam tulisan Braille.
Langkah bersepadu ini bertujuan memastikan pengalaman ibadah yang lancar dan berkualiti tinggi kepada pengunjung di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sepanjang 10 malam paling suci dalam tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




