Georgetown: Lebih 300 pelajar dari Pulau Pinang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat serta terkawal susulan ketegangan di Asia Barat, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
“Saya sendiri menerima maklumat terkini daripada Duta Besar Malaysia di Jordan Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman yang memaklumkan semua pelajar Malaysia termasuk dari Pulau Pinang berada dalam keadaan selamat di sana.
“Kedutaan Malaysia di sana sentiasa berhubung dengan wakil pelajar bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara sepanjang tempoh situasi yang dianggap sensitif di rantau berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447 H di Masjid Al Mustaqhfirin di Bayan Lepas dekat sini malam ini.
Beliau memaklumkan terdapat 100 pelajar Pulau Pinang di Jordan ketika ini yang menetap di beberapa bandar utama termasuk Amman, Irbid serta Mu’tah, dan mereka dinasihatkan supaya berada di kediaman masing-masing selain hanya keluar ke kampus bagi tujuan menghadiri kuliah.
Mohamad juga berkata, sebanyak 200 pelajar negeri itu sedang melanjutkan pengajian di Mesir namun situasi di negara berkenaan dilaporkan tidak terjejas akibat ketegangan yang berlaku.
Mengulas kemungkinan membawa pulang pelajar sekiranya keadaan bertambah buruk, beliau berkata perkara itu bergantung kepada Kementerian Luar dan laporan terkini Kedutaan Malaysia di Jordan.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lepas susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




