Ketegangan Asia Barat: Pemantauan stesen minyak sempadan diperketat

Ketegangan Asia Barat: Pemantauan stesen minyak sempadan diperketat

Kuala Lumpur: Ketegangan geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak dunia menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan, sekali gus mendorong pihak berkuasa memperketat pemantauan di stesen minyak.

Di Kelantan, sebanyak 48 stesen minyak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand berada di bawah pemantauan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bagi mengekang kegiatan pembelian petrol dan diesel yang disyaki untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata, pemantauan harian itu dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa kementerian melalui dua syif bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Beliau berkata, kira-kira separuh daripada stesen minyak berkenaan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kerana berada dalam lingkungan sekitar 25 kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.

“Kawasan seperti Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga dikenal pasti antara lokasi paling hampir dengan sempadan dan sering menjadi tumpuan pemantauan kerana berpotensi menjadi laluan kegiatan penyeludupan bahan api,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, KPDN turut melaksanakan rondaan, risikan serta operasi khas secara berterusan, termasuk operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuh kawalan di kawasan sempadan.

“Aspek risikan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan berlaku di stesen minyak yang dipantau. Langkah ini diambil susulan kebimbangan bahawa stesen minyak berhampiran sempadan boleh menjadi lokasi pembelian petrol dan diesel dalam kuantiti besar atau secara berulang untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata, konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang menjejaskan bekalan minyak dunia turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan permintaan bahan api di kawasan sempadan.

“Keadaan ini boleh mendorong aktiviti penyeludupan jika tidak dipantau rapi. Justeru KPDN Kelantan akan terus memperketat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.

Aswadi turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya mematuhi peraturan ditetapkan serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan pembelian bahan api dalam kuantiti luar biasa.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor hari ini mendapati keadaan di dua stesen minyak berhampiran kawasan sempadan terkawal dengan urusan pengisian petrol dan diesel berjalan seperti biasa tanpa kesesakan luar biasa.

Sepanjang tempoh pemantauan kira-kira sejam di lokasi berkenaan, kenderaan yang singgah untuk mengisi minyak terdiri daripada kereta persendirian, motosikal serta beberapa kenderaan pacuan empat roda.

Pemerhatian di lokasi tidak menunjukkan sebarang aktiviti mencurigakan atau pembelian bahan api secara berulang dalam tempoh singkat.

Di Perlis, tinjauan di dua stesen minyak berhampiran KompleksICQS Padang Besar mendapati penjualan minyak kepada pelanggan dipantau dengan penggunaan kad pengenalan bagi memastikan hanya warga tempatan dibenarkan membeli bahan api bersubsidi.

Selain itu, kedua-dua stesen berkenaan juga melarang pelanggan mengisi minyak menggunakan tong atau bekas tambahan sebagai langkah mengawal kemungkinan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.

Setakat tinjauan petang ini, tiada kenderaan bernombor pendaftaran luar negara yang dikesan mengisi minyak secara berulang di stesen minyak berkenaan.

Seorang peniaga makanan di kawasan berhampiran sempadan, Maliah Mat Nayan, 48, berkata beliau juga tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan kenderaan asing sejak kebelakangan ini.

“Sejak ada kawalan guna IC (kad pengenalan) di stesen minyak, mak cik lihat keadaan lebih terkawal dan jarang nampak kenderaan luar mengisi minyak,” katanya kepada Bernama.

Di Kedah, beberapa individu yang kerap berurusan di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam memberitahu kawalan keselamatan di pintu masuk negara itu juga dalam keadaan terkawal.

Seorang kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 44, berkata kebanyakan pengguna di sempadan itu menyifatkan pemeriksaan Kastam lebih teliti dan menyeluruh.

“Kastam sekarang ini pemeriksaan mereka lebih terperinci, bukan saja terhadap kereta, malah motosikal juga diperiksa dengan teliti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top