Diana Danielle dilamun cinta, akui rapat dengan ahli perniagaan

Diana Danielle dilamun cinta, akui rapat dengan ahli perniagaan

Kuala Lumpur : Pelakon, Diana Danielle, 34, tidak lagi berselindung apabila secara terbuka mengakui sudah mempunyai teman istimewa.

Diana berkata, selepas hampir setahun melalui episod perceraian, dia merasakan sudah tiba masa untuk membuka lembaran baharu bersama jejaka pilihan hati yang juga seorang ahli perniagaan.

“Perkara itu bukanlah sesuatu yang besar bagi saya dan saya rasa ia juga tidak salah memandangkan sudah hampir setahun rasanya bab itu (perceraian) berlalu dalam hidup saya.

“Saya fikir sudah sampai masanya, malah saya sudah bersedia untuk ‘move on’. Saya sudah berkenalan dengan seseorang yang sesuai, jadi kita boleh buat keputusan sendiri,” katanya ditemui pada sidang media single Raya Macam Mana? nyanyiannya bersama penyanyi rap, Francis Roman di Red Box Karaoke, The Gardens Mall, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada sukar untuk kembali membuka pintu hati, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, berkata mungkin perkara itu lebih mencabar buat teman istimewanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Imaginur itu berkata, dia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dalam hubungan berkenaan.

“Saya rasa memang susah untuk dia kerana bagi saya cabarannya adalah untuk kembali mempercayai orang baharu.

“Saya juga ada anak, jadi saya bimbang jika timbul isu tertentu. Sebab itu saya cuba menguruskan perkara ini dengan perlahan dan berhati-hati supaya tidak tersalah langkah atau membuat keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Diana berkata, buat masa ini hubungan tersebut masih tertumpu kepada mereka berdua tanpa membabitkan anak-anak.

“Bagi saya sekarang ini, dia lebih banyak meluangkan masa dengan saya sahaja. Dia belum lagi bersama anak-anak atau sebagainya kerana saya tidak mahu mencampuradukkan perkara itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana turut tampil dengan single sempena Aidilfitri berjudul Raya Macam Mana? yang mengetengahkan pendekatan segar menerusi kolaborasi bersama penyanyi rap meningkat naik, Francis Roman.

Lagu berkenaan hadir dengan rentak ceria dan moden, sekali gus membawa kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top