Azar Azmi dibebaskan, jadi saksi pendakwaan – “Mohon maaf, beri ruang kepada saya”

Azar Azmi dibebaskan, jadi saksi pendakwaan – “Mohon maaf, beri ruang kepada saya”

Pelakon wanita, Azar Azmi, 35, memohon agar diberi ruang ketika disapa pemberita di Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini.

Beri ruang kepada saya

“Saya minta maaf ya, kalau boleh bagi ruang dekat saya. InsyaAllah kalau ada apa-apa saya beritahu,” katanya ringkas.

Memetik laporan Harian Metro, pemilik nama Siti Azar Ameerah Azmi itu berkata demikian ketika ditemui selepas hadir mengikuti prosiding kes membabitkan suaminya di mahkamah berkenaan.

Pelakon drama Nur itu tiba kira-kira jam 10 pagi dengan mengenakan jubah serta tudung berwarna hitam dan ditemani dua remaja yang dipercayai anaknya.

Kehadirannya adalah bagi mengikuti prosiding kes suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, yang berdepan dua pertuduhan menipu berkaitan urusan mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk serta tanah kurniaan di negeri Selangor, membabitkan jumlah kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, Mohd Apri Hazreen didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya supaya membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa memperdayakan seorang lagi lelaki berusia 49 tahun untuk membuat bayaran RM23,120 kononnya bagi mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, yang sebenarnya tidak wujud.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah bank cawangan Dato’ Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2, di sini, antara 2 April hingga 12 November 2025.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, memaklumkan pelakon berkenaan telah dibebaskan kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Dia dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)

Scroll to Top