Serangan bertubi-tubi tiga jam Iran sasar Israel, kepentingan AS di Asia Barat

Serangan bertubi-tubi tiga jam Iran sasar Israel, kepentingan AS di Asia Barat

Tehran: Iran melancarkan gelombang serangan baharu terhadap Israel dan kepentingan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, menurut laporan stesen penyiaran negara, IRIB.

Menurut laporan memetik kenyataan Pengawal Revolusi Iran, gelombang serangan berkenaan adalah yang paling hebat serta bertubi-tubi, setakat ini sejak perang meletus 28 Februari lalu.

“Ia dilancarkan berterusan selama tiga jam dengan menyasarkan bandar Israel, termasuk Tel Aviv, Baitulmaqdis dan Haifa,” katanya.

Menurut laporan itu, serangan peluru berpandu turut menyasarkan beberapa kepentingan AS di Erbil di Kurdistan Iraq, serta pangkalan tentera Armada Kelima AS di Bahrain.

Arab Saudi turut memaklumkan pihaknya memintas tujuh peluru berpandu balistik dalam serangan berasingan yang menyasarkan pangkalan udara dan wilayah timurnya.

“Enam peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Pangkalan Udara Prince Sultan dipintas serta dimusnahkan,” menurut Kementerian Pertahanan Arab Saudi dalam hantaran melalui X.

Pangkalan Udara Prince Sultan terletak di wilayah Al Kharj yang mana seorang tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan cedera dalam serangan pada 1 Mac lalu sebelum meninggal dunia seminggu kemudian.

Dalam satu hantaran berasingan kementerian itu memaklumkan, pihaknya memintas satu lagi peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah wilayah timur.

Selain itu, tentera Arab Saudi turut memintas gelombang serangan sembilan dron, termasuk lima yang dimusnahkan di wilayah Al Kharj yang terletak di timur negara ini, menurut kementerian berkenaan dalam ciapan berasingan.

Sementara itu, UAE juga melaporkan serangan baharu membabitkan peluru berpandu dan dron dari Iran.

Kementerian Pertahanan UAE berkata, pertahanan udaranya bertindak balas terhadap sejumlah peluru berpandu dan dron, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai sasaran atau lokasi serangan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top