Operasi evakuasi berjaya bawa pulang rakyat Malaysia

Operasi evakuasi berjaya bawa pulang rakyat Malaysia

razis@mediaprima.com.my

Sepang: Kerajaan berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat melalui penerbangan khas Malaysia Airlines.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan berkata, penerbangan khas yang berlepas ke Jeddah pada 10 Mac 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

“Seramai 170 orang berjaya dibawa pulang melalui operasi ini. Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan Madinah seramai 133 orang serta sebahagian yang dipindahkan dari beberapa negara di rantau tersebut termasuk Qatar (34), Syria (2) dan Jordan (1).

“Penerbangan ini turut membawa lima warganegara Thailand, seorang warganegara Indonesia dan seorang warganegara Morocco yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi evakuasi diselaraskan oleh MKN, Jabatan Perdana Menteri (MKN,JPM) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta Perwakilan Perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman.

“Perwakilan-perwakilan Malaysia di lapangan telah membantu menyelaras pergerakan rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk pemindahan melalui laluan darat dari beberapa lokasi di rantau tersebut ke Jeddah bagi membolehkan mereka menyertai penerbangan pulang ke tanah air.

“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airlines serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air,” katanya.

Terdahulu, pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa penumpang yang terkandas di zon konflik Asia Barat selamat mendarat di KLIA pada jam 12.32 tengah hari tadi.

Sebelum ini, pesawat Airbus 330-300 itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 8.35 malam waktu tempatan dan hanya diperuntukkan jendela masa yang singkat bagi mengambil penumpang.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Teheran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top